Terowong masa New Boyz bikin penonton ‘histeria’

HIDUP merupakan sebuah perjalanan menuju destinasi yang masih samar.

Kalau dikurniakan rezeki dan peluang, tidak mustahil langkah akan dapat terus berarak dengan penuh kejituan dalam tempoh yang panjang.

Buat kumpulan New Boyz, barangkali begitu juga acuannya. Tiada siapa menyangka waima mereka sendiri, selepas 25 tahun berjuang sebagai pemuzik, kugiran itu masih berdiri dan kekal relevan.

Penuh nostalgia. Demikian terjemahan paling tepat sebagai gambaran persembahan band ikonik New Boyz menerusi konsert Newboyz 25th Anniversary Live In Kuala Lumpur yang menghimpunkan selautan manusia pelbagai lapisan usia, hujung minggu lalu.

VOKAL Tomok seperti tidak pernah terusik evolusi zaman. Kelunakan lenggok suara tetap ampuh dan berbisa seperti pada awal kemunculan sekitar 1999 dahulu.

Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) menjadi saksi persembahan cemerlang konsert tersebut yang disambut gema suara pemuja mereka sebaik sang vokalis, Tomok dan enam rakan seperjuangan membuka langkah menguasai pentas.

Tepat pukul 8.30 malam, kemunculan tujuh jejaka kumpulan terbabit disambut jeritan lebih 3,000 peminat, barangkali sudah sekian lama menantikan malam bersejarah itu berlangsung di depan mata.

Tampil sederhana, barisan pemuzik itu hanya mengenakan tiga busana sepanjang konsert, bermula dengan busana ala-ala kemunculan awal mereka dahulu dan berakhir dengan sut kemas menunjukkan graf kematangan dalam industri.

Konsert berdurasi lebih tiga jam tersebut dinikmati seiring sorakan penuh tenaga penonton tanpa henti membangkitkan lagi gelora jiwa jiwang leleh yang berlegar memenuhi gelanggang.

NEW BOYZ beraksi tanpa cela dan pulang penuh penghormatan untuk dikenang sebagai sebuah kugiran ikonik yang selayaknya dipuja.

Khalayak tahu rantaian lagu hits kumpulan dibarisi tujuh lelaki itu bakal membawa mereka ke terowong masa, seiring imbasan semula kisah cinta yang mungkin pernah mekar berlatarkan lagu-lagu dendangan.

Repertoire persembahan terisi dengan Iye Iye Iyo, Persis Kejora dan Kau Bernama Cinta diikuti seleksi hits yang pernah mencipta fenomena sendiri seperti Hadir Di Sisi, Cuba Cuba, Akulah Bakawali dan Kejora.

New Boyz melantunkan 29 lagu dendangan termasuk lagu-lagu hits yang pernah menjadi siulan, bahkan fenomena dalam arena muzik tanah air suatu ketika dahulu.

Tidak membiarkan penonton berehat walau sejenak, band tersebut berjaya membuat audiens tidak senang duduk dek mahu melambai tangan menikmati alunan galau mereka menerusi dendangan Hiasan Di Laman Rindu, Putus, Nur Mafisa dan Cinta Ciptaan Kita.

 

KONSERT dibanjiri peminat daripada pelbagai lapisan usia membuktikan balada ‘jiwang’ New Boyz tidak mati ditelan zaman.

Tidak terhenti di situ, momentum konsert dimantapkan lagi dengan alunan melankolik Dia, Norkia, Sarena Cintaku, Bicara Tentang Setia, Habis Madu Sepah Dibuang dan Berilah Jawapanmu.

Bayangkan, penonton yang sedang khayal dibuai seleksi ‘jiwang’ kembali berteriak sebaik vokalis mula membuka mulut menyanyi deretan lagu popular tersebut sambil turun ke bawah pentas untuk memberi anak patung ‘teddy bear’ kepada penonton bertuah.

Kata Tomok, pemberian tersebut sebagai simbolik imbas kembali ketika zaman kegemilangan mereka.

“Dahulu, peminat selalu bagi kami teddy bear ketika berjumpa atau lepas buat persembahan sebagai tanda ingatan.

“Kali ini biarlah kami pula memberi kepada penonton yang bertuah sebagai tanda kasih dan sayang kami kepada kalian,” ujarnya.

ARIAN mewarisi bakat seni bapanya, Tomok.

 

Pada bahagian pertengahan malam penuh memori itu, adrenalin konsert dideraskan lagi dengan persembahan istimewa menerusi lagu SMS dan Hanya Tinggal Sejarah.

Usai lagu tersebut, Tomok atau Shah Indrawan Ismail itu meminta izin penonton untuk memanggil anak sulungnya, Arrian Shah Akid ke atas pentas menyanyikan sebuah lagu.

Kata Tomok, sudah lama Arrian menyuarakan hasrat untuk menyanyi dalam konsert, namun ditolak.
Arrian yang teruja dengan peluang yang diberi kan si bapa memilih lagu Hanya Tinggal Sejarah untuk didendangkan.

Biarpun hanya dibenarkan ‘belanja’ sebahagian daripada lagu popular tersebut, namun persembahan Arrian yang penuh penghayatan, mendapat pujian penonton.

TOMOK dan Siti Nordiana berduet menerusi lagu Memori Mungkin Berulang.

Adrenalin konsert dideraskan lagi menerusi lagu Kau Abadi Selamanya, Kemuncak Impian, Qyiam dan Khilaf.

Semasa Tomok menyanyikan lagu duet terbaharunya Memori Mungkin Berulang, Plenary Hall kembali bingit apabila Siti Nordiana tiba-tiba naik pentas menyempurnakan lagu tersebut yang sebelumnya diberitahu tidak dapat hadir.

Persembahan diteruskan lagi dengan tenaga maksima menerusi dendangan Lolita, Lukamu Lukaku Jua dan Marah Bukan Sifatku.

Kehangatan suasana yang sarat penonton membuktikan Newboyz terus relevan biarpun lebih dua dekad ditubuhkan.

NEW BOYZ bakal meneruskan kesinambungan konsert ulang tahun ke 25 di Singapura pada 12 Oktober nanti.

Tidak berundur tanpa lagu wajib karaoke Meraung dan Sejarah Mungkin Berulang sebagai seruan buat semua yang tersakiti, suara penonton nyata bergema mengikut bait lirik lagu yang sudah sebati berbekas di jiwa

Stamina Tomok selayaknya dipuji. Dia tidak sedikitpun menunjukkan rasa kepenatan di atas pentas tidak ubah seperti zaman dulu-dulu. Begitu juga enam lagi rakan seperjuangannya,

Tidak keterlaluan jika dikatakan konsert malam berkenaan punyai kualiti tinggi, selain mempamerkan keaslian aura selain sarat identiti tersendiri yang tidak mungkin terciplak kumpulan lain. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok