Duit punca masalah, Noraniza Idris beranikan diri

MEMILIKI sebuah konsert solo berskala besar pastinya menjadi impian setiap penyanyi, tidak kiralah tempatan mahupun luar negara.

Namun, untuk merealisasikan perkara tersebut menuntut banyak hal, termasuk menelan kos belanja yang besar. Selalunya, faktor kewangan sering menjadi penghalang dan itu pengalaman ‘ngeri’ yang pernah dihadapi Noraniza Idris sebelum ini.

Manakan tidak, hasratnya untuk menganjurkan Konsert Malai Solo yang diumumkan sejak dua tahun lalu masih tertangguh sehingga ke hari ini. Jika ditanya sebabnya, jawapannya ringkas iaitu duit.

Konsert di Melaka

Bagi menebus rasa kecewa tersebut, pelantun lagu Dikir Puteri itu bakal muncul dengan Konsert Qalam yang akan berlangsung selama tiga hari pada 27 hingga 29 September depan di Panggung Bangsawan, Melaka.

Uniknya, acara tersebut bakal mengetengahkan konsep ‘konsert dalam pertandingan’ selain menghimpunkan kumpulan tarian etnik yang layak ke peringkat kebangsaan bagi mengiringi persembahan nyanyiannya selama tiga hari. 

Lebih menarik, koreografi bagi setiap persembahan sepanjang tiga hari konsert adalah berbeza kerana setiap persembahan akan diadili oleh juri pada malam konsert tersebut.

Saya akan menghimpunkan lagu-lagu irama Malaysia daripada pelbagai genre tetapi konsert ini berbeza kerana akan tampilkan pendekatan baru dari segi koreografi persembahan.

“Sebabnya dalam 12 segmen, lapan segmen daripada persembahan saya dinamakan Kreatif Andani dan akan diiringi barisan peserta yang bertanding pada malam peringkat kebangsaan itu,” kongsi penyanyi berusia 55 tahun itu.

Sungguh, segala usaha yang dilakukan itu adalah demi kelangsungan budaya tempatan agar tidak hilang ditelan dek zaman. 

Saya nak jadikan Qalam ini pencetus. Mungkin selama ini orang tidak tahu saya aktif kerana berada di belakang tabir. Jadi saya kena keluar dahulu demi meyakinkan penaja yang lain.

“Dengan adanya pihak pengurusan yang menjaga, insya-Allah semuanya akan lebih teratur. Tiket sudah mula dijual dan semoga mendapat sambutan yang baik,” ujarnya.

Terharu dengan penganjuran konsert tersebut, pelantun lagu Ngajat Tampi itu mengakui memikul tanggungjawab besar bagi terus memartabatkan muzik irama Malaysia terutama selepas pemergian komposer terkenal, Allahyarham Pak Ngah.

Sebagai penyanyi genre ini, saya perlu lakukan sesuatu dan muzik irama Malaysia ini perlu ada penggerak yang berani ke depan. 

“Sebelum ini kita ada Allahyarham Pak Ngah tetapi sekarang dia sudah tiada. Jadi, siapa yang nak bangunkan muzik kita, takkan hendak mengalah begitu sahaja?

“Saya dah biasa sejak dulu berdepan kegagalan berkali-kali sehingga saya pun dah ‘tepu’. Walaupun agak lambat untuk bangkit saya tidak dijadikan sebagai kudis,” katanya lagi.

Ditanya tentang kerisauan menjelang konsert yang akan berlangsung tidak lama lagi, penyanyi  yang diberikan jolokan sebagai Ratu Irama Malaysia itu hanya memberi jawapan ringkas iaitu kesihatan.

“Saya juga ada kerisauan dan kebimbangan berlebihan yang dipengaruhi banyak faktor seperti isu Konsert Malai Solo dan kesihatan serta kemampuan untuk menyanyi selama tiga hari berturut-turut.

Paling risau memang faktor kesihatan. Kini saya menjalani rutin diet dengan menjaga pemakanan banyak bersenam seperti jogging untuk menjaga stamina diri.

“Saya perlu kurangkan berat sebanyak 10 kilogram (kg),” katanya yang berat badannya kini sudah mencapai 82kg.

Noraniza tetap optimis untuk merealisasikan konsert bersekala mega.

Konsert Malai Solo

Sempat membuka cerita tentang Konsert Malai Solo yang masih tertangguh sejak dua tahun lalu sehingga hari ini, Noraniza menegaskan impiannya itu tidak pernah terkubur walaupun telah melalui banyak episod hitam sebelum ini.

“Pastinya saya masih berharap untuk realisasikan Konsert Malai Solo itu. Itu memang impian yang saya sebagai penyanyi irama Malaysia sejak dulu lagi.

Macam-macam dugaan saya hadap sebelum ini untuk jadikan konsert itu realiti tetapi tidak berjaya kerana dana yang tak mencukupi.

“Nasib saya pula tak baik kena tipu dengan penaja-penaja. Mungkin belum rezeki saya di situ,” ujarnya yang menerima peruntukan RM200,000 sedangkan kos keseluruhan konsert Malai Solo tersebut mencecah RM1 juta.

Dalam pada itu, dia juga berbesar hati untuk menzahirkan sokongan kepada mana-mana penyanyi lain yang diberi peluang untuk mengadakan konsert mengetengahkan muzik tradisional.

Kalau ada orang lain yang boleh bawa irama Malaysia di pentas sebesar Malai Solo itu, saya sokong dan bersyukur. Mungkin itu rezeki dia.

“Tetapi jika masih ada yang belum buat, bermakna masih ada harapan untuk saya lagi,” tuturnya.

Konsert Qalam Noraniza Idris dianjurkan oleh Tatih Seni Academy dengan sokongan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya dan kerjasama dari Jabatan Kesenian, Kebudayaan Negara (JKKN) Melaka.

Orang ramai kini boleh mendapatkan tiket pada harga serendah RM99 (Pakej Sawo matang), RM149 (Pakej Ala Dondang), RM199 (Pakej Masyhur) dan RM249 (Pakej Seri Balas) di laman web www.ilassotickets.com bermula 27 Jun. 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok