Walaupun kortisol biasanya dirujuk sebagai hormon stres kerana peranannya dalam memberi tindak balas terhadap stres, ia juga mempunyai banyak fungsi lain.
Ramai yang tertanya-tanya sama ada tahap kortisol mempengaruhi peningkatan berat badan. Teruskan membaca artikel ini untuk mengetahui kesannya terhadap berat badan dan apakah cara untuk menurunkan paras kortisol.
Apa itu kortisol?
Kortisol adalah hormon steroid penting yang tergolong dalam kelas hormon yang dipanggil glucocorticoids. Ia dihasilkan dalam kelenjar adrenal yang terletak di atas buah pinggang anda.
Selain membantu dalam tindak balas tekanan badan anda, kortisol juga berfungsi untuk:
- Meningkatkan paras gula dalam darah
- Mengurangkan keradangan
- Menguatkan sistem imun
- Membantu metabolisme nutrien
Pengeluaran hormon kortisol dikawal oleh kelenjar pituitari dan hipotalamus yang terletak di dalam otak. Semasa tekanan meningkat, kortisol dan adrenalin dilepaskan daripada kelenjar adrenal.
Ini mencetuskan peningkatan kadar denyutan jantung dan tahap tenaga bagi mempersiap tubuh untuk situasi yang berbahaya. Walaupun tindak balas ini adalah normal, peningkatan berterusan dalam kortisol boleh membawa kepada kesan sampingan yang negatif.
Adakah kortisol mempengaruhi berat badan?
Dalam banyak faktor yang mempengaruhi berat badan, hormon adalah salah satu faktor yang paling jelas.
Walaupun hormon seperti kortisol biasanya disimpan dalam julat yang terhad oleh sistem endokrin badan, terdapat situasi tertentu di mana ia boleh menjadi rendah atau meningkat.
- Paras kortisol tinggi boleh menggalakkan makan berlebihan
Peningkatan kecil dalam tahap kortisol sebagai tindak balas kepada tekanan adalah normal dan tidak mungkin menyebabkan kesan sampingan yang negatif. Namun, dalam keadaan tertentu, tahap kortisol mungkin akan meningkat secara kronik.
Ini biasanya disebabkan oleh tekanan atau keadaan seperti sindrom cushing yang menyebabkan tahap kortisol kekal berada pada paras yang tinggi.
Apabila tahap kortisol terus meningkat, terdapat potensi ia akan menyebabkan beberapa kesan sampingan seperti berikut:
- Pertambahan berat badan
- Tekanan darah tinggi
- Keletihan
- Perubahan mood
- Mudah marah
- Muka kemerah-merahan
- Menipiskan kulit
- Kesukaran menumpukan perhatian
- Rintangan insulin
Apabila mengalami tekanan kronik, mungkin sukar untuk mengekalkan tabiat pemakanan yang sihat.
- Paras kortisol rendah boleh menyebabkan penurunan berat badan
Sama seperti tahap kortisol yang tinggi boleh menyebabkan penambahan berat badan, tahap yang rendah boleh menyebabkan penurunan berat badan dalam beberapa keadaan.
Contoh paling ekstrem adalah dalam penyakit Addison, keadaan di mana badan anda tidak menghasilkan kortisol yang mencukupi. Gejala kortisol rendah yang paling ketara termasuk:
- Selera makan berkurangan dan penurunan berat badan
- Keletihan
- Gula dalam darah rendah
- Mengidam garam
- Pening
- Loya, muntah atau sakit perut
- Sakit otot atau tulang
Walaupun tahap kortisol yang tinggi mungkin kelihatan lebih biasa, adalah penting untuk mengetahui kesan kortisol rendah juga. Ia boleh menyebabkan kemurungan, hipoglikemia, kelemahan otot dan lain-lain lagi.
Nak tahu macam mana nak stabilkan paras kortisol? Nantikan artikel Relevan yang seterusnya. – RELEVAN