HARAPKAN panas sampai ke petang rupanya hujan di tengah hari. Tidak semua yang dirancang menjadi kenyataan.
Begitulah luah rasa yang tersimpan di relung hati pemilik nama Isyariana Che Azmi tatkala beberapa tawaran lakonan dibatalkan atas alasan pihak produksi menginginkan pucuk muda menghiasi kaca televisyen.
Wanita yang mesra disapa Isya itu bagaimanapun tidak berasa kecewa mahupun berkecil hati. Baginya, industri hiburan berhak menentukan pilihan pelakon bagi memenuhi kehendak penonton.
“Saya sendiri sudah beberapa kali ditolak produksi dan digantikan dengan pelakon baharu. Awalnya saya berasa kecewa tetapi setelah beberapa kali berlaku, saya mula reda dan terima tiada rezeki untuk itu.
Mungkin kerana kehendak penonton mahu melihat wajah baharu menghiasi televisyen. Pengaruh media sosial turut memainkan peranan.
“Boleh jadi penonton yang ingin melihat saya terdiri daripada ‘mak cik-mak cik’ yang tidak mempunyai media sosial. Jadi mereka tiada platform untuk bersuara berbanding golongan belia yang aktif dengan dunia digital,” katanya.

BIDANG nyanyian menjadi pilihan utama Isya untuk dijadikan sumber pendapatan sekiranya tidak aktif sebagai pelakon. – SOLEKAN @elmandazuhairy
Melihat tempoh masa yang sudah menjangkau satu dasawarsa, sedikit sebanyak mematangkan Isya dengan selok-belok kehidupan anak seni.
Biarpun beberapa kali ditolak, itu tidak mematahkan semangat anak kelahiran Temerloh, Pahang berkenaan untuk memberikan mutu lakonan terbaik.
Ditanya adakah perkara itu berlaku kerana dia mula meletakkan harga tinggi, Isya menafikannya.
Kalau bercakap saya mula menuntut harga tinggi, jelas tidak. Saya tahu kemampuan lakonan sendiri dan setiap pelakon mempunyai gred dan kemampuan masing-masing.
“Jika begitu yang diinginkan, saya akur dan terima dengan hati terbuka. Sudah menjadi lumrah kehidupan apabila ada yang lama, suatu masa nanti akan ada yang baharu,” tuturnya yang bakal muncul dengan filem berjudul Saka Perawan pada 27 Jun depan.

ISYA bakal muncul dengan filem Saka Perawan yang turut dibintangi Azlee dan Yassin Senario, Datuk Fauziah Nawi, Datuk Seri Eizlan Yusof serta Sophia Albarakbah. – BAJU @timberlandmy
Beralih kisah peribadi, Isya mengakui dirinya bukanlah individu yang gemar berkongsi apa yang dilaluinya kepada umum khususnya dalam media sosial.
Malah, dia juga tidak gemar ‘meneroka’ dunia maya apatah lagi mengambil tahu kontroversi melibatkan rakan artis.
Biarpun didakwa hidup seperti katak bawah tempurung, dia selesa dan tenang menikmati kehidupan sebegitu.
Itu salah satu cara saya menjaga minda dan emosi. Orang mungkin kata saya ketinggalan zaman, tetapi itulah kebenaran tentang diri saya.
“Saya tidak berminat melihat kehidupan atau mengambil tahu tentang hal orang lain. Kadangkala sampai ada yang bertanya, bagaimana jadi artis kalau gosip artis pun tidak tahu?
Jujur saya katakan, saya memang tidak ambil tahu. Masing-masing ada kehidupan sendiri dan saya percaya tidak semua yang indah dalam media sosial itu menggambarkan emosi mereka.
“Kehidupan ‘dunia tipu-tipu’ itu lebih kepada kecantikan dan populariti. Dengan mengehadkan masa penggunaan media sosial membuatkan saya lebih tenang dan santai,” jelasnya yang mengikuti kelas vokal di bawah bimbingan Amylea Azizan untuk memperbaiki mutu nyanyian. – HIBGLAM
Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! secara fizikal di kedai-kedai berdekatan anda.