Raih RM35.3 juta, Sheriff tewaskan filem antarabangsa

Terus melangkah bergaya, filem Sheriff kekal berada di carta nombor satu filem terlaris tahun ini selepas meraih kutipan  sebanyak RM35.3 juta bagi tempoh 11 hari tayangan.

Pengarahnya, Syafiq Yusof mengakui terharu dengan sokongan luar biasa khalayak sehingga Sheriff mampu mengetepikan naskhah antarabangsa.

Walaupun sudah memasuki hari ke-11, saya dapat lihat sambutan penonton yang sebahagian besarnya menonton lebih daripada sekali, selain datang ke panggung secara berkumpulan.

“Apabila dapat menghimpunkan kaki wayang terutama penggemar filem aksi, kami cukup berbesar hati tambahan pula mampu memenuhi selera ramai,” katanya.

Sekali gus, catatan kutipan tersebut turut melakar sejarah buat syarikat produksi Skop Productions serta Astro Shaw yang dijangka terus mencanak menjelang cuti umum Hari Pekerja esok.

Sheriff mencatat kejayaan membanggakan apabila meraih kutipan tertinggi 2024 setakat ini.

Terdahulu, Penerbit Eksekutif filem ini merangkap Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad menzahirkan keyakinan terhadap kemampuan Sheriff melakar sejarah tersendiri.

Tidak mustahil filem arahan Syafiq itu mampu mencipta rekod baharu dalam industri perfileman tempatan.

“Kami mengharapkan penonton yang belum menonton Sheriff tidak ketinggalan ke pawagam untuk menikmati sebuah naskhah yang menjanjikan pengalaman berbeza,” katanya.

Rata-rata penonton memberikan markah penuh selepas mengikuti aksi Zul Ariffin, Syafiq Kyle, Datuk Aaron Aziz, Azira Shafinaz dan Elizabeth Tan dalam karya itu.

Terdahulu, filem genre aksi thriller itu dikatakan berada di landasan terbaik untuk memintas kutipan pecah panggung Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan arahan abang Syafiq, Syamsul Yusof.

Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan adalah filem paling laris dalam sejarah perfileman negara dengan kutipan tertinggi mencecah RM97 juta. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok