HASRAT kemenangan yang direstui. Predikat tersebut cukup menggambarkan keterujaan ramai tatkala lagu Hasrat nyanyian Amir Jahari menungguli Anugerah Juara Lagu (AJL) edisi ke-38 pada Ahad lalu.
Siapa sangka, Amir yang melalui banyak liku dalam kehidupan sepanjang 11 tahun lalu kini berada di titik terindah dalam hidup apabila ciptaan sepenuhnya dinobatkan sebagai juara keseluruhan.
Kemenangan yang sememangnya diramal ramai pihak tersebut diibaratkan penyembuh luka dalam kehidupannya sebelum ini, termasuk masalah kesihatan mental kronik yang dialami sehingga pernah terniat untuk mengambil nyawa sendiri.
Tiada kata-kata yang mampu untuk menggambarkan kegembiraanya apabila Hasrat diumumkan sebagai pemenang, sekali gus mengenepikan calon kegemaran ramai, Jangan Mati Rasa Itu nyanyian Aina Abdul dan Sutera (Aisha Retno) bagi posisi juara.
Menewaskan lagu Aina yang merupakan calon utama bergelar juara juga sudah diibaratkan sebagai sebuah kemenangan Amir.
Semua itu bukan mudah tetapi berjaya diharunginya dengan persembahan santai, tenang dan cemerlang pada malam tersebut.
Kata pemilik nama penuh Mohamad Amirullah Jahari, kemenangan yang diraih umpama sebuah keajaiban dalam hidupnya yang sebelum ini, waima sekali pun dia tidak pernah berjaya bergelar juara dalam sebarang pertandingan nyanyian.
Tidak bernombor
Tipulah tidak rasa gembira tetapi pastinya saya sangat terkejut dengan kemenangan ini dan paling tak sangka, saya juara.
“Perasaan jadi juara ini memang agak pelik juga sebab saya tidak pernah menang mana-mana pertandingan. Ibaratnya hidup saya tidak pernah bernombor.
“Seingat saya, paling tinggi kedudukan pernah saya capai ialah memenangi tempat kedua dalam sebuah pertandingan sebelum ini,” kata penyanyi berusia 32 tahun itu.
Diramalkan sebagai juara, penyanyi yang pernah popular menerusi lagu Tanpamu itu mengakui tidak mengetahui mengenai hal tersebut apatah lagi meletakkan harapan menggunung untuk menang.
“Sejujurnya saya memang tidak melihat ciapan dalam media sosial dan bila orang beritahu, saya tak mahu percaya sebab tak berharap pun untuk menang.
Namun pada akhirnya, saya adalah saya. Akhirnya muzik yang berbicara sendiri.
“Syukur dengan gelaran juara ini yang saya anggap sebagai magis. Bagi saya, gelaran juara juga tidak akan memberi makna buat selama-lamanya,” tuturnya.
Anak kelahiran Kuching, Sarawak itu menambah, menanti saat membawa pulang trofi AJL juga tidak pernah terlintas dalam benak fikirannya.
Saya tak menunggu untuk kemenangan ini. Kali terakhir saya sertai AJL adalah pada 2023 menerusi lagu Tanpamu dan ketika itu tak menang sebarang trofi.
“Kemudian, selepas 11 tahun, Hasrat berjaya lolos ke final dan itu juga sudah menajdi kemenangan buat saya.
“Selama 11 tahun jugalah untuk saya berjaya berada di posisi sekarang dan semua ini seperti satu benda yang ‘magical’ (menakjubkan),” tuturnya.
Sebenarnya, bukan gelaran juara yang dikejar. Amir sebaliknya berharap lagu Hasrat berjaya meninggalkan impak besar kepada pencinta muzik tanah air.
Baca artikel penuh menerusi Kosmo! Online atau dapatkan akhbar Kosmo! secara fizikal di kedai-kedai berdekatan anda.