Pelukan BCL, ibu bapa Ashraf Sinclair bikin sebak

PERNIKAHAN penyanyi popular Bunga Citra Lestari atau BCL dengan ahli perniagaan Tiko Aryawardhana yang berlangsung semalam bukan hanya meraih perhatian Indonesia, bahkan turut menjadi topik hangat peminat di Malaysia.

Pada majlis yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Bali, Indonesia, pelbagai momen indah mencuri perhatian umum, termasuk kehadiran dan pelukan BCL kepada ibu bapa Allahyarham Ashraf Sinclair iaitu Mohamed Anthony John Sinclair dan Khadijah Abdul Rahman yang turut hadir menyerikan hari bahagia bekas menantunya.

Menerusi beberapa video tular, Khadijah dan BCL berpelukan selepas majlis pernikahan dan kedua-duanya kelihatan sebak.

Sementara itu, Mohamed Anthoney yang memeluk Tiko selepas sah bergelar suami kepada BCL turut menyentuh hati umum.

Rata-rata netizen membuat kesimpan betapa baiknya hubungan mereka bahkan keluarga Sinclair merestui pernikahan kali kedua penyanyi itu selepas empat tahun bergelar balu.

“Sebak tetapi bagusnya ibu bapa Ashraf hadir pada majlis pernikahan BCL.

“Ibu bapa arwah Ashraf memeluk BCL dan Tiko lepas nikah. Sebaknya,” komen netizen

Selain ibu bapa, adik-beradik Ashraf iaitu Aishah Sinclair dan Adam Sinclair serta isteri yang juga penyanyi, Yuna turut hadir.

Semalam, pelantun lagu Ingkar itu selamat dinikahkan oleh bapanya, Muchlis dengan Tiko yang merupakan duda kepada tiga cahaya mata perempuan.

Majlis tersebut diadakan secara tertutup dan hanya dihadiri oleh keluarga dan teman rapat sahaja.

Tiko sebelum ini dilaporkan bercerai dengan bekas isteri pada 2021.

Terdahulu, BCL bernikah dengan pengacara dan aktor dari Malaysia, Allahyarham Ashraf Sinclair pada 2008 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Noah Aidan Sinclair, 12.

Jodoh tidak panjang, Allahyarham Ashraf meninggal dunia pada Februari 2020 ketika tidur akibat serangan jantung. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok