DEMI memartabatkan hiburan islamik ke tahap yang lebih tinggi, TV Al Hijrah muncul dengan program realiti terbaharu berjudul Pentas Marhaban yang sudah pun menemui penonton bermula 18 November lalu.
Pengurus Pembangunan Kandungan & Perolehan TV Al Hijrah, Nurjannah Mohd Salleh, berkata, program itu diterbitkan bagi menghidupkan dan mengangkat seni Islam berjanzi, marhaban, Rawi serta qasidah mengikut peredaran semasa sekali gus memperkenalkannya kepada generasi muda.
Menurut Nurjannah, Pentas Marhaban akan bersiaran selama lapan minggu dan sebanyak dua kumpulan akan berentap pada setiap minggu.

PENTAS Marhaban diacarakan Fahmi Zainal dan Syamsul Ghau Ghau
Pemenang mingguan akan bertemu pada pusingan separuh akhir dan hanya dua kumpulan sahaja akan terus berentap di pentas final.
“Sebanyak 12 kumpulan marhaban bakal bersaing mengalunkan rangkaian puisi tentang kisah Rasulullah serta puji-pujian kehadrat Ilahi yang disampaikan dengan iramanya yang tersendiri dengan penumpuan kepada tiga elemen utama pada setiap persembahan iaitu Mawal, Marhaban dan Qasidah.
“Ketika sesi uji bakat pihak kami memilih 20 kumpulan tetapi hanya 12 buah kumpulan layak bertanding disebabka kefasihan, kelunakan suara dan kreativiti persembahan.
“Menariknya, usia peserta paling muda yang menyertai program Pentas Marhaban adalah sembilan tahun sehingga yang paling tua adalah 80-an. Ini menunjukkan Pentas Marhaban sesuai untuk semua golongan usia,” katanya.

MAWI tampil sebagai juri jemputan minggu pertama Pentas Marhaban di samping juri tetap, Along Gambus dan ustazah Asni Mansor.
Pentas Marhaban akan diadili oleh juri profesional sepenuhnya dengan dua juri tetap iaitu ustazah Asni Mansor dan Ustaz Zulhafis lebih dikenali sebagai Along Gambus bersama seorang lagi juri jemputan.
Minggu pertama menyaksikan penyanyi dan penyampai radio, Mawi diundang sebagai juri jemputan.
Juara setiap episod Pentas Marhaban akan membawa pulang wang tunai RM2,500 dan layak ke peringkat separuh akhir.
Juara Pentas Marhaban pula akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM50,000 dan naib juara sebanyak RM25,000 beserta hadiah tambahan lain.
Pentas Marhaban minggu pertama telah menampilkan dua buah kumpulan iaitu, Nurul Akhyar dan Sinar Marhabban.

Kumpulan Nurul Akhyar gagal mara ke peringkat serusnya.
Sinar Marhaban telah berjaya menewaskan kumpulan Nurul Akhyar selepas membuat satu persembahan bebas dan Rawi 2, manakala kumpulan Nurul Akhyar membuat satu persembahan bebas dan Rawi 3.
Ketika ditemui pada sidang media usai siaran langsung Pentas Marhaban, Along Gambus berkata, selain teknik vokal, kreativiti persembahan juga diambil kira kerana mahukan persembahan yang lari daripada kebiasaan.
“Sinar Marhaban berjaya menonjolkan kelainan dan keunikan dalam persembahan Rawi apabila menggabungkan bahasa Melayu dan bahasa Arab.
“Gaya persembahan mereka mampu menarik lebih ramai penonton terutama golongan muda dalam menghayati alunan seni islam” jelasnya.
Kumpulan lain yang akan turut bertanding adalah Al-Muhtadin, Selawat Buskers, Soutun Nadwah, Al Maqari, Mawaddah, Qalbun Hadi, An Ni’matul ‘Uzma, Shoutul Huffaz, Nurul Akhyar, Sinar Marhaban, Raudhatul Ashwaq dan Intracksee.
Pentas Marhaban akan dipancarkan secara langsung dari Studio Penyiaran Digital TV Al Hijrah pada setiap Sabtu, pukul 9 malam. – HIBGLAM