KEMATIAN adalah perkara pasti yang bakal dihadapi setiap makhluk bernyawa.
Meskipun topik mengenai kematian sering dianggap tabo atau menyeramkan bagi sesetengah pihak, persediaan awal sebenarnya mampu meringankan beban keluarga yang tinggal, selain memastikan urusan pengebumian berjalan lancar.
Menariknya, langkah proaktif tersebut turut dilakukan beberapa barisan selebriti terkemuka tanah air seberang.
Mereka mengambil pendekatan terbuka dengan menempah tapak tanah kubur serta menyediakan kelengkapan akhir hayat lebih awal demi ketenangan fikiran.
Minggu ini, HibGlam merangkumkan kisah beberapa selebriti yang sudah membuat persediaan awal tempat perkuburan mereka.
Bunga Citra Lestari

SELEPAS diuji dengan pemergian suami tercinta iaitu Allahyarham Ashraf Sinclair, penyanyi Bunga Citra Lestari menempah tapak perkuburan jenis semi-private (berpasangan) di San Diego Hills.
Tempahan khas dua liang lahad tersebut dibuat kerana dia berhasrat untuk disemadikan di sisi arwah suaminya suatu hari nanti.
Menurut Ketua Pegawai Khas Eksekutif San Diego Hills, Suziani Japardy, dua tempahan tersebut dibuat dengan harga Rp260 juta atau RM75,000 pada tahun 2020.
Olga Lydia

PELAKON, model dan penerbit filem, Olga Lydia tidak ketinggalan melakukan persediaan majlis pengembumiannya.
Dia sudah menyiapkan tempat persemadian terakhirnya dengan menempah sebidang tanah kavling di tanah perkuburan eksklusif San Diego Hills.
Menurut Olga, tindakan membeli tanah makam tersebut lebih awal agar tidak menyusahkan keluarga atau orang lain apabila beliau meninggal dunia kelak, memandangkan kematian adalah sesuatu yang pasti.
Anya Dwinov

PENGACARA dan pelakon Anya Dwinov memilih kawasan San Diego Hills sebagai lokasi persemadian terakhirnya.
Dia menempah satu lot tanah sama seperti Olga (rakan karib) kerana bertekad mahu membawa persahabatan mereka ke liang kubur.
Meskipun pada awalnya tindakan tersebut mendapat tentangan keluarga, akhirnya mereka akur dan mengikut jejak langkah sama selepas melihat kepentingan persediaan tersebut.
Irfan Hakim

PENGACARA Irfan Hakim mengambil langkah ke hadapan apabila menyediakan sendiri satu set kelengkapan pengurusan jenazah seperti kain kafan dan penutup keranda.
Selain itu, dia turut membeli sebidang tapak tanah perkuburan khas untuk dirinya dan keluarga yang terletak di Parakan Muncang, Sumedang, Jawa Barat, Indonesia.
Malah, Irfan pernah berkongsi bahawa dia sudah melawat dan cuba berbaring di kawasan plot makamnya.
Difahamkan, jenazah bapanya juga dimakamkan di kawasan tersebut pada tahun 2017.
Irfan mendedahkan bahawa dia tergerak hati untuk membeli tanah perkuburan sendiri selepas melalui pengalaman sedih kehilangan kubur adik kandungnya serta kubur abang iparnya.
Makam-makam tersebut yang terletak di Tanah Perkuburan Awam (TPU) hilang akibat tiada rekod bayaran pembaharuan sewa petak yang dilakukan pihak keluarga.
Ustaz Maulana

PADA ulang tahun yang ke-39, pendakwah bebas Ustaz Maulana mendedahkan sudah menempah sebidang tanah perkuburan untuk dirinya di tempat kelahirannya, Makassar.
Keputusan tersebut dibuat bagi memudahkan urusan waris serta memberikan ketenangan buat dirinya kerana sudah mengetahui lokasi persemadian akhirnya.
Menurutnya, umur manusia adalah rahsia Allah dan tiada siapa yang tahu bila kematian akan tiba, justeru menempah makam awal adalah persediaan peribadinya. – HIBGLAM

