‘Tulis goal board, kalau tidak dapat, saya geram’

MELIHAT ibu membakar semangat orang lain sejak kecil menjadi antara pencetus inspirasi buat pelakon Meerqeen untuk berani memasang impian dan  bekerja keras merealisasikan setiap cita-citanya.

Meerqeen atau nama lengkapnya, Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam, 25, berkata, sejak kecil menemani ibunya, Suraida Yacob menyampaikan ceramah motivasi dan mengetuai pasukan perunding unit amanah berucap di hadapan khalayak membuatkannya memahami kuasa setiap kali menetapkan sebarang matlamat.

“Saya seorang manusia yang penuh dengan imaginasi sejak dari sekolah lagi. Apa saya nak, saya akan tulis. Apa yang saya tak nak pun saya tulis.

“Saya bergerak dengan matlamat yang saya tulis dari dulu. Saya selalu cakap, cita-cita itu kalau boleh merapu pun tidak mengapa. Kalau kata nak beli kapal, belilah kapal,” katanya selepas sesi bertemu peminat sempena pelantikannya sebagai duta REDMI Note 17 Series, semalam.

Pelakon drama Thariq Ridzuwan itu berkata, pada awalnya dia sendiri skeptikal dengan konsep ‘goal board’ dipraktikkan ibunya kerana menganggap perbuatan menulis impian, mengoyak gambar dan menampalnya sebagai sesuatu yang melucukan.

Bagaimanapun, persepsinya berubah selepas menyaksikan sendiri individu yang menetapkan matlamat seperti itu dapat mencapai apa yang diimpikan.

“Pada mulanya saya tidak percaya dengan ‘goal board ‘atau papan sasaran. Orang tulis ‘goal board’, koyakkan gambar dan tampal. Mereka kata nak capai sesuatu dalam masa dua minggu atau sebulan, saya gelak.

“Tapi apabila mereka buat dan dapat raih matlamat, saya mula teruja. Itu bukan gurauan, ini pembakar semangat.

“Kalau saya tidak dapat, saya akan jadi geram namun seterusnya bekerja lebih keras untuk mendapatkan sesuatu yang saya hajati itu,” ujarnya.

Bagi Meerqeen, sikap tidak mudah berpuas hati terhadap pencapaian sendiri menjadi antara pendorong untuk terus bekerja keras.

“Bagi saya, kalau tak dapat apa yang saya sasarkan, saya akan rasa ‘panas. Saya akan fikir, ‘aku belum capai lagi benda ini, aku belum dapat lagi benda ini,’ dan saya bersemangat untuk bekerja keras.

“Kalau berdasarkan pengalaman , saya akan tetapkan matlamat sendiri, tetapkan rentak sendiri. Jadi dengarlah apa nasihat orang dan bermimpilah setinggi mana pun,” katanya. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok