Taylor Swift derma RM202,000 bantu ibu 3 anak

CUKUP sinonim dengan sikap pemurah, penyanyi tersohor, Taylor Swift sekali lagi membuktikan keprihatinan apabila menderma sebanyak RM202,000 bagi membantu seorang ibu tiga anak yang cedera ketika menyelamatkan sekumpulan remaja dalam sebuah kemalangan jalan raya.

Ashley Taunton, 42, dari Rhode Island, Amerika Syarikat, mengalami kecederaan parah selepas dia pula menjadi mangsa kemalangan dalam kejadian tragik pada akhir Julai lalu.

Ketika kejadian, wanita itu sedang memandu di kawasan Hopkinton dalam hujan lebat sebelum melihat sebuah kenderaan terbabas akibat hilang kawalan. Ashley kemudian memberhentikan kereta dan bergegas berlari ke arah kejadian untuk memberikan bantuan.

Namun, sebuah kenderaan lain pula tiba-tiba hilang kawalan akibat jalan licin sebelum merempuh mereka yang mengakibatkan Ashley cedera parah termasuk pada usus kecil dan besar, hati serta salah satu paru-parunya rosak.

Bagaimanapun, pada 28 Ogos lalu, keluarga Ashley menerima kejutan apabila Swift membuat sumbangan sebanyak AS$50,000 menerusi kempen GoFundMe, malah lebih menyentuh hati, penyanyi terbabit meninggalkan pesanan agar proses pemulihannya lancar.

Ibu tiga anak itu mengakui terkejut apabila mengetahui penyanyi terbabit menghulurkan bantuan yang disertai ucapan manis.

“Sangat luar biasa. Taylor Swift, kamu adalah jiwa yang indah. Saya berharap dapat memeluk anda,” tulisnya dalam Instagram. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok