Bersiaran di udara, THR GEGAR gempak guna paramotor

TAMPIL dengan kelainan, stesen radio THR GEGAR membawa barisan penyampainya keluar dari kebiasaan studio menerusi aktiviti udara parametrik yang mendebarkan.

Pengalaman unik itu disempurnakan dua penyampai segmen Gegar Petang, Ewan dan Rea yang berani menyahut cabaran membawakan gelombang siaran terus dari awan biru.

Pengurus Jenama THR GEGAR, Azah Sahrin menjelaskan, usaha membawa penyampai bersiaran dari udara merupakan manifestasi kesungguhan stesen berkenaan dalam menyajikan kelainan berani buat pengikut setia mereka.

“Kami sentiasa mahu mencari pengalaman baharu yang boleh diterjemahkan kepada kandungan menarik untuk pendengar.

Aktiviti paramotor ini memberikan satu perspektif yang berbeza kerana Ewan dan Rea bukan sahaja mencuba sesuatu yang mencabar, tetapi turut membawa pengalaman itu untuk dikongsikan bersama pendengar.

“Lebih menarik, aktiviti ini menjadi sebahagian daripada pengisian jelajah KITA FM ke seluruh negara, yang membuka ruang untuk kami meneroka pelbagai pengalaman unik di setiap lokasi,” katanya.

Inisiatif luar biasa tersebut merupakan sebahagian daripada pengisian jelajah KITA FM di seluruh negara yang bertujuan meneroka lokasi baharu serta menghasilkan pengisian kandungan (content) yang lebih segar, spontan dan dekat di hati para pendengar.

Menerusi aktiviti berkenaan, gandingan penyampai terbabit bukan sahaja diuji dari segi keberanian minda dan fizikal, malah membuktikan iltizam THR GEGAR untuk sentiasa menyajikan hiburan yang variatif serta penuh warna-warni. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok