PELAKON Mierul Aiman memilih untuk meletakkan sepenuh kepercayaan penuh kepada pihak pengurusannya dalam mengendalikan urusan perniagaan serta penetapan bayaran (rate card) lakonan.
Mierul atau nama lengkapnya Muhammad Amirul Aiman Norazman, 27, menganggap struktur pengurusan adalah tunjang penting bagi anak seni untuk terus kekal fokus terhadap kualiti persembahan tanpa perlu terbeban dengan perbincangan nilai kewangan.
“Saya percaya pihak pengurusan merupakan struktur penting dalam bisnes hiburan ini.
Saya ada pengurusan yang menguruskan bahagian-bahagian perniagaan (bayaran), sekali gus membantu menjadi orang tengah dalam teknik pemasaran.
“Jadi saya hanya perlu fokus untuk bekerja (berlakon) dan terus berkarya,” katanya kepada HibGlam pada majlis tayangan episod pertama KUDRAT 1968: High Council, semalam.
Pada masa sama, juara program Hero Remaja 2021/2022 itu lebih selesa meletakkan keutamaan terhadap aspek lakonan serta kempen penjenamaan, manakala rundingan bayaran seratus peratus diserahkan kepada pihak yang bertauliah.
Saya rasa lebih baik pihak pengurusan yang berbincang soal bayaran kerana saya hanya menjalankan tanggungjawab sebagai anak seni.
“Saya lebih memberi keutamaan dalam bahagian lakonan atau kempen penjenamaan, selebihnya saya serahkan kepada pihak pengurusan,” ujarnya.
Disoal sama ada dia menyerahkan 100 peratus kepada pengurusan, Mierul memaklumkan keputusan diambil selepas perbincangan dengan kedua-dua pihak.
“Saya serahkan segala perbincangan dan satu kata putus menentukan segalanya (jumlah bayaran).
Macam mana sekali pun saya percaya semua perbincangan itu akan dipersetujui kedua belah pihak tanpa tanpa melibatkan isu peribadi,” katanya.
Sebelum ini, pelakon Nam Ron berkongsi cerita tentang pelakon baharu didakwa meminta bayaran RM100,000 untuk penglibatan dalam sebuah filem.
Menurut Nam Ron, adalah sukar untuk seseorang pelakon menerima bayaran setinggi itu bagi kemunculan sulung dalam filem, meskipun individu berkenaan sudah mempunyai pengalaman bertapak menerusi drama televisyen. – HIBGLAM
