“SAYA suka penampilan yang kemas, saya tidak suka nampak tak bersedia.”
Demikian perkongsian penyanyi Zaki Yamani yang sangat menitikberatkan soal penampilan diri.
Menurut Zaki, 20, perkara tersebut dipupuk menerusi bimbingan ibunya, Fatimatuzahra Samat yang menerapkan gaya hidup berdisiplin seperti yang pernah diamalkan bapanya, Datuk Jamal Abdillah suatu ketika dahulu.
Alhamdulillah saya ada ibu yang sangat menyokong yang pernah menjaga ayah saya suatu ketika dahulu.
“Apa yang ayah amalkan adalah bukan sekadar menyanyi tetapi gaya hidupnya.
“Mak saya turunkan kepada saya sedikit demi sedikit sebab saya tidak dapat duduk sekali dengannya.
Kalau saya keluar rumah, macam nak pergi berjalan padahal nak pergi 7 Eleven sahaja. Saya pakai kasut, tak pakai selipar,” katanya kepada HibGlam semasa majlis pelancaran lagu terbaharunya berjudul Akur, hari ini.
Dalam masa sama, pelantun lagu Aku Ada itu menganggap menjaga penampilan dapat membuka lebih banyak tawaran kerja.
Saya rasa bila kita jaga diri dalam keadaan kemas, wangi dan sebagainya, rezeki akan masuk. Itu cara sayalah.
“Mana tahu tiba-tiba ada orang di luar nak berborak pasal ‘show’ (persembahan) atau apa-apa dan dia tertarik, itu kita boleh buat PR (perhubungan awam).
“Jadi saya memang suka berpenampilan kemas, sentiasa bersedia,” katanya lagi.
Selain menjaga penampilan, Zaki juga memberi penekanan terhadap tahap kesihatan dan stamina diri menerusi latihan fizikal yang konsisten.
Bukan dalam imej sahaja, tetapi dari segi kecergasan juga. Saya kerap ke gim dan lakukan kardio untuk bersedia bagi apa-apa sahaja.
“Sekiranya ‘show’ (persembahan) ada lima, enam atau sepuluh lagu yang bernada sangat tinggi, saya sudah pastikan saya dalam keadaan bersedia. Jadi lebih mudah,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Zaki melancarkan lagu Akur yang ditulis sendiri bersama Bunga dan Amzar Razqa. – HIBGLAM
