KETIKA adiknya, Elisya Sandha dihujani kecaman susulan kontroversi drama Madu Atau Racun, aktres Fasha Sandha tampil menenangkan insan kesayangannya itu agar tidak terus dibelenggu kata-kata negatif.
Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, 42, berharap Elisya mengambil pengajaran daripada situasi yang berlaku, selain mengetepikan hal kurang menyenangkan.
Setiap orang mempunyai pandangan berbeza. Ambil apa yang boleh dijadikan pengajaran, abaikan perkara negatif dan teruskan melangkah, Elisya,” katanya dalam hantaran di Threads.
Pada masa sama, Fasha mengingatkan adiknya agar jangan memberi tekanan kepada diri sendiri, malah yakin fasa ini akan berakhir.
Jangan biarkan komen negatif membebankan hati, adik Angah (panggilan dirinya). Berlembutlah dengan diri sendiri, biarkan semua kebisingan itu berlalu.
“Ingat, segala detik ini juga akan berlalu,” ujarnya.
Tambah anak kedua daripada empat bersaudara itu, dia akan berada di belakang adiknya dalam apa jua situasi.
Angah sentiasa ada untuk adik. Sayang adik sangat-sangat,” ujarnya.
Kata-kata semangat Fasha itu hadir ketika nama Elisya ‘dipetik’ netizen susulan kontroversi Madu Atau Racun yang didakwa menyelitkan babak pelakuan songsang.
Isu tersebut mencetuskan perdebatan sehingga ramai pemerhati menolak tayangan drama bersiri 12 episod yang disiarkan di platform penstriman iQIYI itu termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan.
Begitupun, atas usaha Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang memanggil wakil penerbit, MIG Production House, iQIYI serta pelbagai agensi berkaitan, saluran penstriman terbabit setuju untuk membuat suntingan sebelum naskhah tersebut dinilao panel untuk tayangan semula.
Selain Elisya, drama arahan Eyra Rahman itu turut dibintangi Aliff Aziz serta Uqasha Senrose. – HIBGLAM
