PELAKON Anzalna mengakui tidak pernah menjadikan kedudukan harta, taraf sosial mahupun gelaran sebagai ukuran dalam menjalinkan ikatan persahabatan dengan sesiapa.
Menurut pemilik nama penuh Nur Anzalna Md Nasir, 38, keikhlasan dan kejujuran hati menjadi keutamaan utama dalam menilai seseorang individu yang mahu menganggapnya sebagai seorang sahabat.
“Saya tak memilih kawan berdasarkan status, gelaran atau apa sahaja yang mereka boleh tawarkan kepada saya.
“VIP (orang kenamaan) atau bukan, bagi saya semua orang sama. Apa yang penting adalah sikap, hati dan keikhlasan seseorang apabila menganggap saya sebagai kawan,” katanya dalam Threads.
Pada masa sama, pelakon drama Aku Isterinya itu menitipkan pesanan agar individu yang bertopengkan sifat talam dua muka tidak mendekati dirinya.
“Saya sentiasa lebih menghargai kejujuran dan keikhlasan daripada status.
“Kawan yang ‘fake’ (pura-pura), jangan sesekali datang dekat saya, pergi main jauh-jauh,” ujarnya.
Hantaran tersebut kemungkinan hanyalah luahan Anzalna yang sering aktif dalam aplikasi Threads. – HIBGLAM
