SUAMI kepada pelakon Elisya Sandha, Uzair Haqimy meminta orang ramai tidak menghukum pelakon yang terlibat dalam drama Madu Atau Racun susulan kontroversi membabitkan kandungan drama berkenaan.
Uzair atau nama lengkapnya, Uzair Haqimy Azman, 30, berkata, dia memahami kebimbangan netizen, penonton serta pihak kerajaan berhubung isu yang tercetus, namun menganggap tidak adil andai pelakon dipersalahkan atas watak digalas.
“Saya sangat faham isu semasa berkaitan Madu Atau Racun dan saya juga faham kebimbangan netizen serta penonton.
“Tetapi saya rasa tidak adil untuk menghukum orang yang melakonkan watak tersebut kerana mereka hanya menjalankan tanggungjawab sebagai pelakon,” katanya dalam perkongsian Instagram.
Uzair juga anak sulung kepada pasangan selebriti, Sheila Rusly dan Jinggo berkata, lakonan dalam sesebuah karya tidak seharusnya disamakan dengan realiti kehidupan seseorang pelakon kerana mereka sekadar membawa watak berdasarkan skrip dan kehendak cerita.
“Kalau anda benar-benar mahu menghentam atau mengharamkan sesuatu, jangan pergi kepada pelakon yang hanya menjalankan watak.
“Macam anda tengok Maya Karin, anda tidak akan takut dia Pontianak Harum Sundal Malam kerana anda tahu dia sedang berlakon. Itu hanya lakonan,” ujarnya.
Pada masa sama Uzair berkata, dia tidak menentang andai kerajaan mengambil tindakan atau drama tersebut dikenakan sekatan, malah memahami pendirian penonton yang mempunyai kebimbangan terhadap kandungan dipaparkan.
Bagaimanapun, dia berharap orang ramai menonton karya berkenaan sehingga tamat sebelum membuat kesimpulan mengenai mesej yang cuba disampaikan menerusi jalan ceritanya.
“Dalam setiap pembikinan filem atau drama, sentiasa ada mesej pada penghujungnya. Sebab itu saya rasa anda perlu tonton sehingga habis supaya dapat memahami mesej dan pengajaran yang cuba disampaikan.
“Ini bukan untuk mengetengahkan bahawa seseorang patut menjadi lesbian atau menyokong LGBTQ,” katanya.
Uzair turut berbangga dengan kemampuan pelakon menjayakan watak masing-masing sehingga berjaya mencetuskan perbincangan dalam kalangan penonton.
“Saya bangga dengan mereka kerana itu bermakna mereka melakukan kerja yang baik dalam membawa sesuatu watak.
“Cuma kebimbangan itu tidak salah, tetapi jangan menekan mereka seolah-olah apa yang dipaparkan dalam drama itu adalah realiti,” ulasnya.
Dalam pada itu, Uzair menegaskan dia tidak berniat untuk menidakkan pandangan mana-mana pihak kerana memahami keresahan masyarakat, penonton dan pendirian kerajaan.
“Kalau anda mahu menegakkan sesuatu, tegakkan berdasarkan realiti dan bukan lakonan,” katanya.
Drama Madu Atau Racun sebelum ini mencetuskan kontroversi susulan beberapa babak yang didakwa menyentuh sensitiviti agama dan masyarakat.
Kontroversi tersebut turut mendapat perhatian pihak berkuasa, menteri dan penggiat industri, namun penerbit serta platform penstriman terbabit bersedia melakukan suntingan sebelum drama 12 episod siaran iQIYI itu dapat ditayangkan semula. – HIBGLAM
