MULA dikenali sebagai pencipta kandungan dalam media sosial, kini Ucop melebarkan sayapnya ke arena lakonan.
Segala usaha dan dicurahkannya sepanjang bergiat dalam dunia hiburan akhirnya membuahkan hasil apabila bakatnya mula mendapat perhatian ramai, termasuk diberi kepercayaan membintangi sebuah filem berjudul Kata Hati.
Bagi pemilik nama lengkap Mohd. Yusof Hashim, kejayaan yang dinikmatinya hari ini merupakan hasil daripada kesabaran serta ketabahan menempuh pelbagai cabaran sepanjang sedekad lalu.
“Sejujurnya, apa yang saya buat 10 tahun lalu sebenarnya adalah perkara yang saya memang nak jadi hari ini. Semuanya bermula tanpa niat lain selain mahu menjadi seorang penghibur.
Bila saya tengok balik diri saya sekarang, semua ini adalah hasil daripada kesabaran, konsistensi untuk jadi diri sendiri, berani bereksperimen dengan kandungan, pengarah artistik dan semua benda yang saya belajar dengan cara yang agak sukar.
“Saya sentiasa percaya saya mampu buat sesuatu yang lebih besar walaupun pernah rasa dipinggirkan, rasa tak sama macam orang lain, tidak berada dalam senarai dan bukan pilihan utama,” katanya lagi.
Bagi mengejar kejayaan, pelakon berusia 33 tahun itu tegas dengan pendiriannya untuk tidak mengehadkan potensi diri pada satu-satu cabang sahaja.
“Dahulu orang selalu cakap kalau nak berjaya kena pilih satu benda dan duduk dalam kotak itu tapi saya tak percaya macam itu.
Saya rasa kita semua mampu buat banyak perkara sebab itu saya buat macam-macam daripada menari, teater, pencipta kandungan dan berlakon. Bila tengok balik, semuanya macam ‘puzzle’ yang akhirnya bercantum.
“Saya sangat bersyukur bila ada orang nampak kemampuan kita dan percaya untuk menggunakan perkhidmatan kita. Itu sendiri satu penghormatan buat saya,” ujarnya.
Kerjasama dengan seniwati
Sementara itu, Ucop berkongsi pengalamannya dapat bergandingan bersama dramatis Wan Maimunah menerusi video khas Generasi Anak Felda.
“Ini kali pertama saya dapat bekerja dengan dia. Wan Maimunah seorang seniwati yang memang tiada tolok bandingnya.
Bekerja dengan dia rasa macam betul-betul ada seorang ibu di set. Dia tahu macam mana nak mengawal emosi kita mengikut babak.
“Sangat pemurah bila berlakon dan banyak memberi. Memang seronok bekerja dengan dia,” luahnya.
Tambahnya, peluang bergandingan dengan pelakon air mata itu ibarat satu mimpi yang menjadi kenyataan buat dirinya yang membesar sebagai pengagum karya-karya aktres berkenaan.
“Saya membesar menonton lakonannya, terutamanya drama-drama TV3 awal tahun 2000-an bersama Haliza Misbun. Saya masih ingat, dia antara pelakon yang betul-betul boleh buat saya menangis sebagai penonton.
“Bila dah besar dan akhirnya dapat berlakon dengan dia, memang rasa macam mimpi. Saya sangat bersyukur tengok macam mana dunia ini kadang-kadang membawa kita kepada impian yang pernah kita angankan, alhamdulillah,” tutupnya.
Ucop dan Wan Maimunah bergandingan menerusi video khas Generasi Anak Felda berdurasi 19 minit yang dimuat naik Exco Hal Ehwal Felda Pahang, Datuk Amizar Abu Adam dengan kerjasama Media Pahang dan kerajaan Pahang.
Naskhah tersebut mengangkat kisah seorang anak Felda yang berhijrah ke bandar demi mengejar cita-cita sebelum mengambil keputusan pulang ke tanah rancangan bagi berbakti kepada ibu bapa serta membangunkan komuniti tempat asalnya. – HIBGLAM
