MEMASUKI edisi kedua, Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) selaku penganjur Creative Xperience Festival 2026 (CXF’26) berharap program itu menjadi medan menemukan, membimbing dan membuka ruang kepada bakat baharu menembusi industri kreatif tanah air.
Presidennya, Khalil Saleh berkata, festival bersama Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) itu berperanan sebagai jambatan menghubungkan dunia pendidikan dengan pemain industri perfileman, seni dan kandungan kreatif.
Katanya, CXF’26 yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula 21 September ini di Politeknik Besut, Terengganu akan disertai enam politeknik dan 11 kolej komuniti seluruh negara.
“Ini kali kedua program ini dilaksanakan dan kesinambungan sangat penting untuk menunjukkan kerjasama antara institusi pendidikan dan industri kreatif boleh dibina secara berterusan, bukan sekadar program sekali sahaja.
“Sebanyak enam politeknik dan 11 kolej komuniti membawa satu mesej besar iaitu mencungkil dan mengetengahkan bakat kreatif dari seluruh negara.
“Kita perlu mencari, membimbing dan memberi ruang kepada bakat ini sebelum mereka hilang daripada radar industri,” katanya.
Menurut Khalil, industri kreatif perlu lebih proaktif mendekati pelajar dan tidak hanya menunggu golongan muda mencari jalan memasuki industri.
“Kita mahu pelajar menimba pengalaman industri sebenar menerusi bengkel, sesi perkongsian dan jaringan industri yang dapat membina kemahiran, portfolio serta keyakinan,” ujarnya.
Beliau berkata, penggiat industri juga mempunyai tanggungjawab lebih besar daripada sekadar menghasilkan karya, malah perlu memastikan generasi pelapis mampu meneruskan kelangsungan ekosistem kreatif.
“Kita perlu memandu dan membuka pintu kepada generasi baharu. Pelajar hari ini adalah tenaga kerja kreatif masa depan. Mereka boleh menjadi penulis, pengarah, pelakon, kru produksi, editor, juruanimasi, penerbit dan usahawan kreatif,” katanya.
Pada masa sama, Khalil berharap Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dapat mempertimbangkan sokongan dana bagi menjayakan bengkel pembangunan industri sepanjang CXF’26.
“Setiap ilmu dan pengalaman yang diberikan boleh menghasilkan tenaga profesional untuk masa akan datang. Sokongan Finas adalah pelaburan kepada bakat dan masa depan industri perfileman Malaysia,” katanya.
Khalil menegaskan pembangunan ekosistem kreatif perlu diberi perhatian serius dan tidak seharusnya terhenti kepada penganjuran program semata-mata.
“Kalau kita mahu industri perfileman Malaysia mempunyai masa depan, kita mesti mula membina manusianya hari ini,” katanya.
Mengangkat tema Ulir & Ukir: Memperkasakan Warisan Seni dan Budaya Menerusi Inovasi Digital, CXF’26 memberi tumpuan kepada usaha memelihara dan memodenkan seni warisan seperti batik menerusi reka bentuk fesyen dan kraf tempatan yang disepadukan dengan teknologi digital terkini.
Antara pengisian lain termasuk projek mencipta Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi ‘Glow Batik Big Puzzle’, pertandingan kecerdasan buatan (AI) ‘Battle of the Prompt’, pertunjukan fesyen ‘Batik Showcase & Fashion Runway’ serta pertandingan e-sukan Mobile Legends dan PUBG Mobile.
Selain itu, wacana akademik dan industri menerusi Creative Insight Digest (CID 2026) serta Marketplace & Booth Keusahawanan Pelajar turut dianjurkan bagi merancakkan ekosistem industri kreatif tempatan.
CXF’26 menyasarkan penyertaan pelajar sekolah menengah, penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS), penggiat industri kreatif serta peminat seni dan budaya, dengan jumlah kehadiran dijangka melebihi 3,000 pengunjung. – HIBGLAM
