NAMANYA sebelum ini tidaklah begitu panas seperti rakan seperjuangan lain, namun impak konsistensi persembahan lakonan, Ikmal Amry berjaya meletakkan dirinya sebaris dengan bintang pelapis tanah air lain.
Meledak menerusi drama Khianat Yang Terpilih, Ikmal, 31, bersyukur apabila hasil kerjanya perlahan-lahan diterima ramai.
Bukan sahaja drama televisyen, dia juga bakal muncul menerusi filem aksi Tarung: Unforgiven hasil terbitan rakan baiknya sendiri, Aedy Ashraf.
Menurut pemilik nama penuh Mohd. Zulikmal Amry Ghazali itu, dia tidak terlalu memikirkan soal populariti. Meniti di bibir atau sekadar suam-suam kuku, apa yang utama, dia enggan hanyut dan lupa di mana bumi berpijak.
“Syukur semua kerja keras saya selepas beberapa tahun memperkenalkan diri sendiri terbayar dengan impak positif.
“Itulah doa saya, emak dan isteri selama ini. Saya banyak kali minta mereka doakan saya agar diberikan peluang berlakon dalam filem aksi dan naskhah hebat, sekarang inilah jawapannya.
“Alhamdulillah, usaha selama ini tak pernah mengkhianati hasil yang diraih sekarang.
“Saya buat badan selama ini bukan untuk menunjuk semata-mata sebaliknya mahu menuai rezeki. Semua ini buktikan bahawa semua akan dapat peluang dan rezeki cuma perlukan masa,” katanya kepada HibGlam.
Dikatakan memasuki senarai aktor taruhan masa depan, Ikmal menegaskan semua itu adalah rezeki daripada Allah SWT yang semua orang tidak menjangkakannya.
“Saya tak pernah terfikir nama naik atau nak kejar populariti sejak bergelar anak seni.
“Kalau fikir dan takut nama naik atau tidak, saya tak akan kahwin awal, nanti populariti menjunam tetapi lain pula terjadi.
“Popular atau tidak, saya tolak belakang dan sentiasa percaya konsep rezeki. Cuma sekarang saya tidak rasa nama naik mencanak cuma orang semakin kenal, tidak hilang dan tidak tenggelam,” katanya lagi.
Memberi lakonan cemerlang dalam Khianat Yang Terpilih di samping Amyra Rosli dan Puteri Aishah juga membuatkan namanya diseru netizen agar disenaraikan sebagai barisan utama dalam mana-mana naskhah hebat oleh karyawan tanah air.
Bukan tidak pernah melakonkan watak utama, namun akui Hero Remaja 2017/2018 itu, hanya Fahim dalam Khianat Yang Terpilih paling berjaya mencairkan hati khalayak.
“Sebenarnya sudah beberapa kali saya bawa watak utama dalam drama cuma sekarang, orang baru sedar kewujudan saya.
“Kebetulan saya juga berlakon dengan idola sendiri iaitu Amyra Rosli yang umum tahu mempunyai ramai peminat. Jadi, saya pun tumpang rezeki dia.
“Cuma, terima kasih kepada yang suka dengan lakonan saya, harap diberi peluang untuk menjayakan lebih banyak karya hebat lain,” tuturnya.
Bercerita mengenai Tarung: The Unforgiven, bapa kepada dua orang cahaya mata itu memberitahu, meski bukan pemegang watak utama dia tetap teruja apabila dapat membintangi sebuah karya hebat hasil arahan Razaisyam Rashid.
“Ketika Aedy tawarkan filem ini, memang terus kata boleh tanpa ambil tahu soal bayaran atau watak sebab dia kawan baik saya. Saya akan sedaya upaya untuk membantunya kecuali menjadi jurukamera.
“Saya setuju sebab mahu beri sokongan penuh untuk filem pertama hasil terbitannya, bangga dengan kawan sendiri.
“Ini juga bagi membalas banyak bantuan dan sokongan yang dia berikan kepada saya selama 11 tahun berkawan. Aedy ada ketika waktu susah saya,” katanya yang memegang watak sebagai Celos.
Jefri Nichol
Beralih mengenai kegilaan segelintir pengguna media sosial membandingkan dirinya dengan bintang sensasi Indonesia Jefri Nichol, Ikmal tidaklah berasa rimas, namun dalam sisi berbeza mewujudkan satu jaringan komunikasi antara dirinya dengan seangkatan berbeza negara.
Hasil gurauan netizen, Ikmal dan Jefri saling berkomunikasi menerusi ruangan mesej atau DM media sosial.
“Sebenarnya saya dan Jefri sudah saling berkomunikasi pun, ini pertama kali kami berinteraksi dan dia pun mengaku seronok baca semua komen dan ucap terima kasih sebab saya pun ada mempertahankan dirinya dalam media sosial.
“Dia gembira baca reaksi daripada netizen Malaysia, saya harap janganlah sampai menghina atau mengutuk dia.
Berita Malaysia
“Kalau betul nak banding-bandingkan kami, lebih baik fokus kepada benda baik sahaja, jangan cakap saya baik, dia buruk atau sebaliknya,” kongsinya.
Tambah Ikmal, perbandingan yang memburuk-burukkan imej artis lain terutama dari luar negara perlu dihentikan kerana tidak mahu netizen Malaysia dipandang negatif.
“Selepas ramai DM, saya perasaan ada komen menghina Jefri dan saya rasa semua itu perlu dihentikan sebab melibatkan dua negara. Risau apa yang netizen kita cakap buat mereka terasa, nanti nama kita juga yang buruk.
“Kalau nak cakap dia buaya, sebenarnya kita semua pernah nakal dan jadi buaya cuma Allah tutup aib kita saja. Saya juga pesan kepadanya, semua itu hanya gurauan,” ceritanya yang terdetik rasa bangga apabila kerap digelar sebagai Jefri Nichol versi Malaysia.
Lebih melucukan, ada segelintir peminat memanggilnya dengan nama Jefri apabila bertemu di kawasan umum.
“Saya pergi ‘jogging’, ada yang jerit panggil Jefri Nichol! Dahulu memang ada tetapi sekarang lebih kerap.
“Rasa bangga juga sebab saya pun tumpang populariti dia.
“Jadi, apa salahnya kalau orang nak panggil saya dengan nama dia, cuma janganlah samakan saya dengan Jefri,” akhirinya. – HIBGLAM
