“Maaf tidak hadir rumah terbuka, tak sanggup anak kena marah’

BUKAN sombong atau enggan bergaul, sebaliknya pelakon dan penyanyi Azza memilih untuk tidak menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri demi menjaga emosi dan kesejahteraan anak istimewanya, Adam.

Ujar Azza atau nama sebenarnya Nor Azzarima Zawari, 48, keputusan tersebut dibuat kerana bimbang kehadiran mereka mengundang situasi kurang selesa, khususnya apabila melibatkan anak autistik.

“Ada jemputan rumah terbuka di rumah, saya minta maaf memang tidak hadir. Saya risau kehadiran saya dan Adam akan menimbulkan rasa kurang selesa kerana Adam anak autisme.

Kalau dia nampak permainan, dia mungkin akan ambil. Jadi saya ambil keputusan untuk tidak hadir majlis di dalam rumah. Kalau di luar atau bawah khemah, tidak mengapa sebab saya tahu dia boleh berkelakuan baik.

“Tetapi dia tetap anak autisme. Kalau nampak permainan, dia akan capai. Jadi lebih baik saya dan suami tidak hadir. Saya tidak sanggup jika ada orang marah atau mengata anak saya,” katanya dalam Threads. ‘

Anggota kumpulan Elite itu turut meluahkan perasaan sedih apabila pernah berdepan situasi Adam, 7, dipinggirkan hanya kerana dirinya sedikit berbeza.

“Saya pernah nampak orang rampas permainan daripada anak saya ketika dia sedang bermain. Ada juga kanak-kanak lain tidak mahu berkawan dengannya kerana dia autisme.

Saya kasihan melihat keadaan itu. Kalau soal permainan, tidak perlu risau, di rumah kami memang banyak. Tetapi perasaan anak itu lebih penting,” luahnya.

Tambah pelakon drama My Lovely Driver itu, sebagai ibu, naluri melindungi anak lebih kuat berbanding keinginan untuk bersosial seperti orang lain ketika musim perayaan.

“Saya mudah terkesan. Sebelum perasaan saya lebih terganggu, lebih baik saya atau suami tidak bawa Adam ke tempat begitu.

Nak pergi seorang diri pun saya tidak sanggup. Jadi lebih baik saya duduk di rumah sahaja. Saya seorang ibu, naluri melindungi itu kuat.

“Saya bahagia duduk di rumah atau keluar makan malam di tempat lebih selesa. Kalau di luar seperti hotel, Adam boleh berkelakuan baik. Cuma bila di rumah orang, saya jadi sedikit paranoid,” kongsinya.

Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen, rata-rata memahami situasi dilalui Azza selain memberi sokongan moral terhadap pengorbanan seorang ibu.

Tidak kurang juga berkongsi pengalaman sama berdepan cabaran membesarkan anak istimewa, sekali gus menyuntik semangat buat penyanyi tersebut untuk terus kuat menghadapi liku kehidupan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok