‘Kalau boleh tak nak orang industri, mahu yang biasa-biasa’

PEMPENGARUH sensasi yang juga bekas isteri kepada pengarah terkenal, Syamsul Yusof iaitu Ira Kazar kini lebih tertarik kepada lelaki yang bijak mengawal pelbagai situasi terutamanya ketika berdepan konflik.

Menurut Ira atau nama sebenarnya Faghira Fatini Kazaruddin, 31, dia mengidamkan pasangan hidup yang bukan dalam kalangan industri hiburan.

“Dia mestilah seorang yang bijak, tahu kawal situasi terutama bila ada konflik. Bagi saya itu sangat penting.

“Dari segi rupa pula, cukuplah sedap mata memandang. Kalau boleh bukan orang industri, biasa-biasa tetapi ada status juga,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka All Star Influencers, di sini, semalam.

Hampir dua tahun bergelar janda, anak kepada aktor veteran, Kazar Saisi itu bagaimanapun mengakui masih belum bertemu jodoh yang sesuai meskipun ada individu yang cuba mendekatinya.

“Nak dijadikan isteri itu belum ada lagi. Kalau sekadar nak berkenalan, ada. Kalau kata ramai nanti orang cakap angkat bakul sendiri, jadi saya cakap ada sahajalah.

“Saya belum terlalu fokus ke arah itu, tapi bukanlah menolak. Mungkin belum sampai jodoh,” ujarnya.

Ditanya sama ada dia serik atau trauma untuk kembali berumah tangga, Ira memaklumkan dia lebih berhati-hati dalam memilih pasangan hidup.

“Pengalaman lalu banyak mengajar saya untuk lebih meneliti latar belakang seseorang sebelum membuat keputusan.

“Saya tidak serik kerana setiap manusia berbeza. Tak bolehlah anggap semua lelaki sama.

“Cuma sekarang saya lebih berhati-hati dan akan tengok latar belakang terlebih dahulu. Dulu mungkin saya tidak terlalu pandang perkara itu, saya anggap kekurangan boleh diterima, tapi sekarang tidak lagi. Perlu pertimbangkan sebaiknya,” jelasnya.

Untuk rekod, Ira pernah berkahwin dengan Syamsul pada 6 Januari 2023 di selatan Thailand sebelum mendaftarkan perkahwinan mereka di Perlis pada 20 Januari tahun sama.

Namun, perkahwinan tersebut tidak berkekalan apabila mereka sah bercerai pada 5 September 2024. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok