TERJUN ke arena seni atas dasar minat, pelakon Putri Aleeya Antasha mengakui tetap mengambil kira pandangan bapanya sebelum menerima tawaran membintangi drama.
Akui anak kepada ikon rock tersohor, Datuk Awie itu, sebagai kakitangan Rumah Merah Produksi (RPM), tugas hakikinya adalah menguruskan acara bagi syarikat terbabit.
Malah, baginya restu insan penting dalam hidupnya itu merupakan sesuatu perkara yang membuatkannya berani menonjolkan bakat sebagai pelakon.
“Sebenarnya saya berlakon sejak tahun lalu menerusi drama mikro terbitan RMP sebelum terbabit dengan drama milik Global Station memegang watak utama.
Memang minat berlakon sebab masa belajar pun saya sertai teater. Sebelum habis belajar dulu ada juga yang tanya saya mahu menyanyi atau berlakon. Menyanyi tu tidaklah.
“Jadi selepas habis belajar saya mula berjinak-jinak dengan lakonan. Tapi saya minta izin dulu dengan daddy (panggilan bapa) sebab saya kerja dengan dia. Dia izinkan, cuma kena dahulukan kerja hakiki,” katanya kepada HibGlam di set penggambaran drama Bayang Tanpa Peluk.
Menyedari menggalas amanah besar, pesanan bapa agar menjaga diri serta adab tersimpul kemas di sanubari sekali gus mengingatkannya jangan mudah dibuai kemilau dunia hiburan.
Baginya, pesanan yang sering disematkan insan dihormatinya itu menjadi benteng untuk terus membumi dan bijak membawa diri.
“Tiada pun syarat daddy, cuma daddy minta jaga diri dan jaga adab. Kalau setakat telefilem yang tak ambil masa panjang saya sedia bagi komitmen. Saya sendiri kena pandai atur jadual
“Dahulu pun ada juga yang panggil (berlakon), saya tolak kerana daddy mahu kami habiskan pengajian kalau mahu aktif di bidang seni.
Sekarang pun banyak tawaran diajukan kepada daddy dulu. Macam drama terbitan A. Aida Production ini, dua kali Datuk A. Aida tanya pada daddy,” ujarnya.
Ditanya tentang tekanan sekeliling lebih-lebih lagi dikatakan menggunakan ‘tiket’ bapa untuk mendapatkan watak, anak sulung daripada tujuh bersaudara itu menyifatkan perkara tersebut berbalik kepada rezeki.
Kata Putri, andai tiada bakat, tentu sahaja mana-mana produser termasuk bapanya sendiri tidak mungkin menawarkan watak kepadanya.
“Mungkin tanggapan ini timbul kerana belum ada orang yang menonton lakonan saya. Lagi pun, jika dihitung saya baru terbabit dalam dua drama. Tidak mengapa, saya bukan jenis cepat melatah.
Ini juga secara peribadi satu cabaran buat saya untuk menunjukkan mutu kerja yang cemerlang serta jangan malu untuk belajar dengan pelakon senior,” katanya.
Tidak ambil mudah
Menyatakan kerjaya di RPM sebagai fokus utama, walaupun lakonan hanya sampingan Putri tidak ambil mudah setiap watak ditawarkan.
“Ikutkan bidang seni ini cuma sampingan sahaja kerana saya ada tanggungjawab besar. Walaupun RPM milik daddy dan rakan kongsinya, saya perlu penuhi tanggungjawab di pejabat.
Apa pun andai sudah sedia memenuhi sebarang tawaran berlakon, saya tetap berikan sepenuh jiwa kerana itu juga satu tanggungjawab.
“Mungkin selain bekerja dan berlakon, selepas ini saya mahu menyambung pengajian di peringkat Sarjana pula,” jelas pemegang ijazah sarjana muda dari Management and Science University (MSU) itu. – HIBGLAM
