SELEPAS dua tahun membawa haluan masing-masing, kisah Que Haidar dan bekas isterinya, Linda Jasmine, kembali menjadi sorotan hangat netizen dalam media sosial.
Segalanya tercetus apabila Linda seolah-olah memberi bayangan punca sebenar perpisahan mereka menerusi satu komen di aplikasi TikTok.
Linda mendakwa tindakan tersebut diambil demi melindungi anak-anak mereka daripada perkara yang tidak diingini, sebagai respons kepada saranan netizen yang berharap mereka kembali rujuk.
Keadaan menjadi lebih tegang apabila anak sulung Que dan Linda iaitu Tengku Ratu Haidar menegaskan orang luar tidak mengetahui situasi sebenar yang berlaku dalam keluarga mereka.

LINDA dikecam kerana dikatakan membuka aib bekas suami.
Di saat Que atau nama penuhnya Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar memilih untuk terus mengunci mulut, adiknya, Dayangku Nazeera, tampil bersuara menyatakan kekesalan terhadap tuduhan liar yang dilempar kepada abangnya.
Dayang menyifatkan dakwaan itu sebagai satu fitnah yang tidak disangka-sangka.
“Yang sebarkan fitnah, bersedialah untuk jawab di akhirat, hati-hati ya semua.
Kami sekeluarga layan sebaik-baiknya dia. Tak sangka difitnah sebegini.
“Terima kasih bekas kakak ipar atas fitnah yang disebar. Semoga Allah SWT membalas dan semoga Tuhan melindungi abang saya,” katanya dalam satu hantaran TikTok.
Dalam hantaran berbeza, Dayang memberi amaran agar pihak terlibat tidak mencabar kesabaran keluarganya sehingga memaksa mereka mendedahkan aib yang lebih besar.
“Kalau tak tahu cerita sebenar, lebih baik diam daripada menyakiti orang lain dengan fitnah.
Kita malas nak buka aib orang tapi kalau dah buka, awak malu sampai tak keluar rumah nanti, malu nak jumpa media.
“Sabar orang ada limit, jadi berpada-padalah buat cerita itu. Kita ini sabar sebab abang sendiri,” ujarnya.
Isu panas itu turut mendapat perhatian rakan seperjuangan, Ellie Suriaty yang mendedahkan pengorbanan dilakukan aktor berusia 46 tahun itu yang selama ini tidak diketahui umum.
Menurut Ellie, Que sanggup mengetepikan kerjaya seninya selama 16 tahun demi menjaga keharmonian keluarga dan memenuhi ‘syarat’ ketat yang didakwa ditetapkan bekas isterinya.
“Dia mengorbankan 16 tahun untuk melayan paranoia dan membesarkan anak-anak supaya mereka membesar dalam suasana positif di sekelilingnya.
Dia (wanita itu) akan mengamuk jika Que berkeras mahu menerima tawaran kerja.
“Kalau pun Que mahu pergi penggambaran, dia hanya benarkan jika semua pelakon dalam senarai adalah lelaki,” katanya dalam hantaran Threads.
Lebih membuatkan ramai simpati, pelakon filem Rock Oo! itu juga pernah bertemu dengan Ellie tanpa pengetahuan sesiapa untuk meluahkan kerinduan terhadap dunia seni.
Dia pernah berjumpa saya secara rahsia 12 tahun lalu untuk beritahu dia sangat merindui dunia lakonan,” katanya lagi.
Selain Ellie, Kodi Rasheed juga menzahirkan sokongan terhadap Que dan memberi amaran keras agar tiada mana-mana pihak menabur fitnah
“Luar dalam atas bawah kiri kanan depan belakang semua aku tahu.
Tolonglah jangan dijolok sarang tebuan. Aku sayang abang aku.
“Sakit dia sakitlah aku. Simpan Aib masing-masing okey, nasihat saja,” katanya dalam Threads.

MOMEN bahagia Que dan Linda bersama tiga anak mereka ketika masih hidup bersama.
Giliran Nam Ron pula mempertahankan Que dengan berharap lelaki itu tidak lagi menghilang dari industri seni.
Pernah merasa kehilangannya dalam dunia seni, rindu untuk melihatnya beraksi. Kini ketika dia kembali untuk mengubati rindu kami, dia cuba dirampas semula daripada kami.
“Tolong jangan menghilang lagi. Terus berdiri dan lawan. Jangan menyerah, aku tahu kau kuat,” katanya.
Sehingga kini, Que masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi, begitu juga dengan Linda yang tidak lagi mengulas lanjut.
Tidak tahu apa sebenarnya yang dimaksudkan Linda dan anaknya, Ratu. Namun, sebaiknya permasalahan keluarga tidak perlu diuar-uarkan kepada umum.
Jangan jadikan isu terbabit sebagai strategi pemasaran memandangkan Ratu kini menyertai program Talk To My Manager musim kedua (TTMM2).
Buat Que pula, teruslah berkarya. Usah biarkan konflik peribadi memadamkan sinar bakat yang lama dirindui seluruh peminat industri hiburan tanah air. – HIBGLAM
