BUKAN mudah bergelar komposer popular, namun semua itu terpaksa ditelan Aisha Retno apabila lagu hit Jodoh Lebaran menjadi bahan perdebatan netizen Malaysia dan Indonesia.
Aisha atau nama lengkapnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 26, berkata, karya berkenaaan dihasilkan bagi meraikan kebersamaan merayakan Syawal, bukan untuk mencetuskan polemik.
“Saya pun tak sangka perkataan lebaran boleh mencetuskan perdebatan. Pada November tahun lalu saya juga dikaitkan dengan isu batik. Seolah-olah ada pihak yang mahu saya memilih satu identiti sahaja.
Ibu saya berasal dari Indonesia, manakala ayah pula dari Malaysia. Jadi apabila melihat perbalahan begini saya berasa sangat sedih.
“Tetapi saya tetap dengan pendirian. Saya bangga menjadi rakyat Malaysia dan dalam masa sama menghargai darah Indonesia dalam diri saya,” katanya kepada HibGlam.
Mengulas lanjut, Aisha berkata, dia kini berasa lebih dekat dengan peminat sejak menggunakan aplikasi Threads, sekali gus membuka ruang untuk berkongsi pandangan secara lebih terbuka.
Sokongan Indonesia
Menurutnya, majoriti peminat di Indonesia sentiasa memberi sokongan terhadap kerjayanya, malah beberapa lagunya sebelum ini turut mendapat perhatian di negara berkenaan.
“Saya baru menggunakan Threads dan rasa lebih dekat dengan peminat dari Malaysia dan Indonesia. Ada perkara yang saya perlu suarakan, termasuk isu ini (perkataan lebaran).
Ramai peminat di Indonesia sangat menyokong saya. Bukan satu sahaja lagu saya pernah tular di sana, malah beberapa karya lain juga mendapat perhatian.
“Mereka sangat merendah diri, menerima dan menghormati budaya, sekali gus menunjukkan sikap sopan dan beradab,” katanya.
Aisha bagaimanapun berharap isu tersebut tidak terus diperbesarkan dan percaya akan reda dengan sendiri.
“Saya percaya masa akan meredakan keadaan. Jika masih ada yang berkeras dengan pendapat masing-masing, biarkan sahaja.
Saya sendiri datang daripada latar Malaysia dan Indonesia, jadi pertengkaran seperti ini tidak perlu diperbesarkan.
“Kita sepatutnya saling meraikan budaya dan berkongsi karya antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Usanita, baru-baru ini.
Aisha berharap lagu berkenaan tidak dijadikan bahan pertelagahan memandangkan Jodoh Lebaran menerima maklum balas positif daripada ramai pendengar Malaysia dan Indonesia.
Begitupun, Aisha sentiasa terbuka menerima pelbagai pandangan daripada semua pihak sekali gus berusaha menambah baik setiap karyanya.
“Maksud saya dalam platform Threads itu bukan mengenai kekecewaan terhadap penerimaan lagu di Malaysia atau Indonesia. Saya okey sahaja dengan semua pendapat dan melihat ramai juga yang menerima lagu ini dengan baik di kedua-dua negara.
“Orang mahu menerima atau tidak lagu ini, terpulang. Saya serahkan sepenuhnya kepada pendengar.
“Cuma apa yang membimbangkan saya adalah kata-kata kesat daripada segelintir individu. Bagi saya, perkara itu kurang beradab. Itu sahaja yang mengganggu perasaan saya,” ujarnya.
Jodoh Lebaran gubahan dan dendangan Aisha menjadi fenomena apabila mendominasi kebanyakan carta lagu popular tempatan dalam platform penstriman utama termasuk Apple Music (AM), Spotify dan iTunes. – HIBGLAM
