Dikenali sebagai pengarah iklan komersial yang berpengaruh, nama Bobby Hussaini sememangnya tidak asing lagi dalam kalangan syarikat korporat yang sering mendapatkan sentuhan kreatifnya untuk menghasilkan karya berimpak tinggi, khususnya menjelang musim perayaan.
Dalam usaha menyuntik kelainan dalam industri perfileman tempatan, Bobby kini tampil dengan filem sulung berjudul Libang Libu.
Selepas lebih dua dekad meniti kerjaya dalam dunia komersial, anak kelahiran Ipoh, Perak ini merasakan sudah tiba masanya untuk mencabar diri dan membuktikan kemampuan pada skala yang lebih besar.
Namun, peralihan ke dunia pengarahan filem bukan bererti beliau meninggalkan bidang komersial sepenuhnya.
Sebaliknya, ia dilihat sebagai langkah memperluas horizon kreatif serta memperkukuh portfolio seni beliau.
“Saya memulakan kerjaya dalam bidang iklan sebagai penulis iklan (copywriter). Selepas lebih 20 tahun, ini adalah waktu yang tepat untuk saya memperluaskan kemampuan ke tahap berbeza.
Bagi saya, ini satu peralihan yang diimpikan oleh ramai pengarah iklan, dan sekarang adalah masa yang sesuai untuk saya.
“Kemunculan saya sebagai pengarah filem bukan bermakna saya meninggalkan dunia iklan. Ini adalah permulaan kepada sesuatu yang baharu. Saya masih mahu terus mengarah iklan, dan pada masa sama menunaikan impian untuk mengarah filem,” katanya.
Mengulas mengenai skeptikal segelintir pihak yang beranggapan sentuhan iklannya mungkin akan terlalu ketara dalam filem ini, Bobby mengakui tanggapan itu bukan sesuatu yang mudah untuk disangkal.
Namun, beliau melihatnya sebagai satu cabaran yang perlu dibuktikan melalui karya.
“Memang ada yang bertanya sama ada gaya iklan saya akan membayangi filem ini.
Jawapannya mudah, kena tonton dahulu dan nilaikan sendiri.
“Jujurnya, ini risiko yang akan dihadapi oleh semua pengarah iklan seperti saya. Tetapi satu perkara yang saya pegang, tidak kira iklan atau filem, saya akan menghasilkan karya berdasarkan apa yang saya rasa. Ramai mengatakan iklan saya sedih, tetapi itu bukan tujuan utama saya. Sebenarnya, setiap karya yang dihasilkan membawa mesej yang dekat dengan masyarakat, dan mungkin itu yang membuatkannya terasa menyentuh hati,” jelasnya.
Berkongsi lanjut mengenai Libang Libu yang bakal ditayangkan pada 23 April ini, tidak dinafikan ada yang melihat gaya penceritaan tersebut seakan-akan menyamai sentuhan karya Allahyarham Mamat Khalid.
Namun bagi Bobby, perbandingan itu dilihat sebagai satu penghormatan, dalam masa sama beliau tetap mengekalkan identiti dan gaya tersendiri dalam naskhah sulungnya itu.
“Arwah adalah idola saya, namun itu bukan tiket untuk Libang Libu dibayangi karya-karya hebat beliau. Mungkin kerana saya menjalani penggambaran di Perak dan mengambil inspirasi daripada situasi masyarakat di sana, tetapi Libang Libu bukan sekadar filem komedi, sebaliknya gabungan pelbagai kisah masyarakat yang dekat dengan kita.

“Mengapa Perak? Lokasi penggambaran adalah kampung saya, jadi secara tidak langsung filem ini sangat dekat dengan kehidupan awal saya ketika kecil,” ujarnya.
Selain jalan cerita yang segar, gabungan pelakon hebat antaranya Ameerul Affendi, Beto Kusyairi dan Nabila Huda turut menjadi antara kekuatan filem ini.
Jelas Bobby, pemilihan pelakon memainkan peranan utama memandangkan ramai yang melihat Libang Libu hanya sebagai sebuah karya komedi.
“Saya suka bekerja dalam suasana selesa, dan apabila pelakon mampu memberikan yang terbaik, ia memudahkan semua pihak. Bila melihat Libang Libu, ada yang membayangkan ia sekadar sebuah filem komedi, tetapi di sebaliknya terdapat banyak isu yang cuba diketengahkan dalam filem ini.
“Jadi, setiap watak dalam Libang Libu ini penting bagi memastikan mesej yang ingin disampaikan sampai kepada penonton. Cabaran paling besar bagi saya bukan kerana pelakon tidak mampu menjiwai watak, tetapi lebih kepada penyampaian dialek bahasa Perak itu sendiri.
“Namun, sejak awal lagi saya telah berpesan kepada para pelakon agar tidak terlalu tertekan mengenainya, kerana kita juga mahu penonton memahami bahasa yang digunakan dengan mudah,” katanya. – HIBGLAM
