PELAKON Mimi Lana memilih untuk berehat dari dunia media sosial terutama platform Threads buat sementara waktu.
Menurut Mimi atau nama penuhnya Mimi Rozalana Zainal Abidin, 30, keputusan tersebut diambil kerana berasakan penggunaan yang berlebihan boleh memudaratkan dirinya.
“Saya suka berada di sini (Threads) namun saya sedar bahawa penggunaan yang berlebihan tidak sihat untuk diri sendiri.
“Saya akan berehat sebentar dan memadam aplikasi ini buat sementara waktu,” katanya dalam sebuah hantaran.
Dalam hantaran sama, dia sempat mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan mana-mana akaun palsu yang menggunakan identitinya.
“Mohon jangan percaya mana-mana akaun palsu menggunakan nama saya, terutamanya akaun yang berkongsi kod Quick Response (QR) untuk meminta wang.
“Itu bukan saya dan ini adalah satu-satunya akaun rasmi saya.
“Ingatlah, platform ini hanyalah sebahagian kecil daripada kehidupan. Dunia realiti sedang menanti kalian di luar sana,” katanya lagi.
Sebelum ini, Mimi sering mencuri perhatian ramai kerana menjadi antara selebriti yang lantang bersuara pelbagai isu dalam Threads. – HIBGLAM
