Tahajud jadi sandaran, Nora Danish cari damai jiwa

DALAM diam memujuk hati, pelakon Nora Danish mengakui masih dalam perjalanan panjang mencari ketenangan jiwa, meskipun sudah mula mendekatkan diri dengan amalan spiritual sejak berhijrah.

Ujar Nora atau nama sebenarnya Nora Mohd. Danish Hanif, 44, rutin menghadiri kelas agama membuka lembaran baharu dalam hidupnya, sekali gus mendorong diri untuk lebih istiqamah mendekatkan diri kepada Tuhan.

“Sejak mula berhijrah, saya kerap menghadiri kelas agama. Di situ saya disarankan bangun menunaikan solat tahajud untuk mencari ketenangan hati.

Saya juga mengamalkan solat sunat tahajud dan istikharah serta berdoa agar dikurniakan rasa tenang.

“Namun, saya sendiri tidak pasti bila ketenangan itu benar-benar hadir dalam diri,” katanya menerusi sebuah audio siar.

Mengulas lanjut, pelakon filem Sayu Yang Syukur itu mengakui ujian hidup yang datang kebelakangan ini mengajarnya erti sabar, malah menjadikan dirinya lebih kuat berdepan cabaran.

“Apabila melalui ujian sekarang, walaupun melibatkan beberapa masalah, saya dapat menghadapinya dengan lebih tenang.

Saya rasa ketenangan itu mungkin datang daripada amalan bangun malam, solat tahajud, sedikit demi sedikit membentuk jiwa lebih damai,” ujarnya.

Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, ramai menzahirkan sokongan serta mendoakan agar pelakon berkenaan terus diberi kekuatan.

Tidak kurang juga ada yang berkongsi pengalaman peribadi, menyifatkan amalan tahajud sebagai jalan terbaik untuk mendekatkan diri kepada Ilahi selain menjadi penawar keresahan jiwa.

Namun, segelintir pihak turut memberi pandangan berbeza, mengingatkan bahawa perjalanan mencari ketenangan memerlukan kesabaran serta keikhlasan berterusan tanpa mengharapkan hasil segera. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok