‘Kami buktikan tiada diskriminasi, kasta dalam muzik’

BERDIRI teguh sejak 2005 disusuli penerbitan album sulung dua tahun kemudian, kemunculan kumpulan Hujan membawa manifestasi kepada industri muzik tempatan.

Seperti berkatnya rintik air yang mencurah dari langit, kugiran ini merancakkan muzik pop ketika itu apabila mencetus gelombang kegilaan terhadap genre indie rock alternatif yang diperjuangkan.

Tonggak utamanya, Noh Salleh, AG Coco, Hang Dimas dan Azham Ahmad yang kemudian disertai Izzat Uzaini bersama pemuzik sessionis iaitu Dukegong, Ojoe serta Jaja terus memacak keyakinan pendengar.

Kongsi sejarah

Mahu berkongsi sejarah, Hujan bakal meraikan ulang tahun ke-20 menerusi konsert berskala besar, Hujan XX: #Hujan20Tahun yang dijadualkan pada 27 Jun ini.

Konsert yang akan berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil itu dianjurkan Icon Entertainment sebagai tanda penghargaan terhadap perjalanan seni kumpulan berkenaan sepanjang dua dekad.

AG Coco berkata, konsert berkenaan bukan sekadar meraikan perjalanan Hujan, sebaliknya turut menghargai keseluruhan adegan muzik indie yang pernah berdepan cabaran untuk diterima arus perdana.

Katanya, konsert itu merupakan hadiah istimewa buat peminat setia yang tidak pernah berhenti menyokong sejak awal pembabitan dalam industri muzik.

“Indie pernah dianggap asing. Muzik kami menerima persepsi yang sukar dan susah berjaya dalam pasaran komersial.

Tapi lihatlah setelah kelompok pemuzik indie yang percaya bahawa tiada diskriminasi atau kasta dalam muzik, akhirnya kami membuktikan keberagaman genre menjadikan industri muzik tempatan lebih berwarna.

“Untuk ‘perayaan’ kali ini, lebih 40 lagu daripada katalog Hujan dijangka dipersembahkan pada malam itu yang pastinya memenuhi kehendak pengikut setia kami,” katanya.

HUJAN bakal meraikan ulang tahun ke-20 menerusi konsert berskala besar, Hujan XX: #Hujan20Tahun yang dijadualkan pada 27 Jun ini.

Menurutnya lagi, Hujan XX : #Hujan20Tahun adalah sebuah konsert, perayaan dan keraian untuk perjalanan Hujan meraikan Raingers dan memperingati laluan panjang mereka.

Sementara itu, pengasas Icon Entertainment, Iman Tang berkata, penganjuran konsert itu sudah lama dirancang sebagai apresiasi terhadap sumbangan besar Hujan dalam industri muzik tempatan.

Dalam setiap era muzik Malaysia akan lahir karya yang menjadi legenda dan Hujan adalah salah satunya.

“Keberanian serta kreativiti mereka membuatkan kami tidak ragu-ragu untuk menganjurkan konsert ini.

“Icon Entertainment tidak berfikir dua kali untuk merealisasikan perayaan muzik Hujan 20 Tahun secara besar-besaran,” ujarnya.

Iman turut menaruh keyakinan konsert tersebut dapat menarik kehadiran peminat setia yang dikenali sebagai Raingers dari Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia.

Terdahulu, dengan sejarah panjang bersama sembilan album dan pelbagai pengiktirafan, Hujan terus konsisten melahirkan karya berkualiti.

Antara dendangan popular termasuk Pagi Yang Gelap, Aku Skandal, DugaanNya, Ahmoi Chantek, Bila Aku Sudah Tiada, Gundah dan Pijak Hatiku.

Penerima Anugerah Industri Muzik ke-16 (AIM16) bagi Album Rock Terbaik dan Lagu Rock Terbaik itu kini rujukan buat banyak kugiran lain yang melihat pencapaian mereka sebagai penanda aras yang merubah landskap penerimaan anjakan muzik pada awal 2000.

Mengenai konset yang bakal direalisasikan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, konsep persalinan konsert berkenaan bersifat simple iaitu memakai baju bertemakan kumpulan (band) atau jenama keluaran tempatan.

Harga tiket pula dibahagikan kepada beberapa kategori harga bermula RM158 (Sang Enemy), RM188 (123 Go), RM208 (Mencari Konklusi), RM228 (Lonely Soldier), RM248 (ABCDEFGHujan) DAN RM268 (CheckCheckRockRock).

Tempahan tiket boleh dibuat menerusi pembelian di https://www.ticket2u.com.my/Hujan yang bermula pada 10 April 2026. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok