‘Jumpa Malique, kena sign surat aku janji dulu’

BUKAN semua orang diberi peluang bekerjasama dengan legenda hip-hop, Malique yang keberadaannya kini menjadi misteri, namun buat Yonnyboii dia sudah beberapa kali menjalin kolaborasi dengan rapper terbabit.

Yonnyboii atau nama lengkapnya, Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, 28, kini sekali lagi bekerjasama dengan figura hebat itu menerusi single khas berjudul Infiniti – Kita Up yang turut menampilkan Kidd Santhe.

Kata Yonnyboii, selain bekerja secara online untuk menghasilkan muzik, dia pernah sekali bertemu empat mata dengan susuk figura diberi gelaran Mr. General itu di studio milik rapper terbabit di Damansara, Selangor.

Menurutnya, Malique masih seperti dahulu, tidak banyak berubah dari segi fizikal dan masih kaya dengan wisdom atau kata-kata azimat yang mampu menggoncang dunia.

HIBGLAM: Mungkin boleh ceritakan sedikit tentang single baharu Infiniti – Kita Up yang turut menampilkan Malique dan Kidd Santhe?

YONNYBOII: Infiniti ini Kid Santhe yang tulis dan gubah apa semua. Saya direkrut oleh PUBG Malaysia menyanyikan korus lagu ini. Saya cuba tangkap intipati lagu ini iaitu semangat kemenangan. Cuba bangkitkan semangat pemain-pemain Malaysia kita untuk permainan video ini.

Bagaimana pengalaman bekerja dengan Kidd Santhe?

Saya dah kenal Kidd sejak zaman underground lagi. Baru keluar sekolah, saya dah kenal dia. Kira, dia macam antara inspirasi saya jugalah bikin muzik. Dia pun dahulu buat beat untuk lagu saya dengan Caprice berjudul Takut. Sebab sudah ada pengalaman bersama kalau kerja dengan Kidd memang tiada masalah, memang sekejap sahaja.

INFINITI – Kita Up kini boleh didengari di semua platform muzik.

Sudah berapa kali Yonnyboii bekerjasama dengan Malique yang keberadaannya masih menjadi misteri sehingga hari ini?

Sebenarnya, ini kali ketiga saya bekerja dengan Malique. Saya ada satu lagu single bertajuk Tanya Tuhan dengan dia dan satu lagi belum rilis lagi tak boleh cakap tapi untuk satu pasukan bola sepak. Kemudian, Infiniti – Kita Up ini lagu ketiga dengan Malique setakat ini.

Anda pernah berjumpa secara berhadapan dengan Malique atau kerja seni semua secara online?

Saya pernah jumpa dia sekali sahaja. Sekitar tahun lepas bukan rakaman atau apa. Cuma ajak jumpa kasual saja lepak borak santai di studionya. Masa jumpa, saya cakap pun tidak, lebih dia yang bercakap kepada saya. Senang cerita, saya ‘startrucked’. Seronok dapat tengok dia masih sihat dan kacak macam dahulu.

Saya lepak dengan dia dari pukul 9 malam sampai 3 pagi. Dengar dia borak sahaja pasal pengalaman. Bagaimana Too Phat boleh naik, dapat perform di Indonesia dan sejarah hidup serta muzik semua. Jumpa memang tak rancang. Dia cuma nak jumpa sebab nak bagi tahu ‘feedback’ lagu Tanya Tuhan depan-depan.

Macam mana kita tengok dia dalam TV dahulu, begitu jugalah dia sekarang. Masa jumpa dia banyak bagi nasihat tentang industri dan sebagainya.

Apa nasihat Malique yang masih terngiang-ngiang di telinga Yonnyboii sampai sekarang?

Banyak sebenarnya dan antaranya, jangan dengar apa orang nak cakap. Biar mereka cakap dan kita buat hal kita sahaja. Benda yang simple tapi bagi saya dalam muzik, akan ada banyak ‘kepala’ jadi dia cakap buat je lagu yang kita suka. Jangan terlalu nak puaskan hati orang.

Masa bertemu ada tak ‘do and don’t’ sebelum dia bersetuju untuk ‘menjelmakan’ diri?

Tak boleh ambil gambar dengan dia. Apatah lagi kongsi semua itu dalam media sosial. Senang cerita memang semua P&C (peribadi dan sulit). Sebelum saya jumpa dia, ada benda kena sign (tandatangan).

Saya rasa sebab dia dah lama ‘kurungkan’ diri tapi sebenarnya, dia nak bercakap dengan orang. Bila jumpa seseorang itu, memang dia sangat peramah. Memang banyak topik perbualan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok