LEBIH dua dekad bergiat aktif dalam bidang seni, pelakon Datuk Aaron Aziz nekad untuk lebih selektif terhadap tuntutan kerja terutamanya melibatkan babak bersentuhan dengan berlainan jantina.
Aaron, 50, menyatakan pendirian tersebut diambil atas faktor usia dan kesedaran untuk menjaga batasan sebagai seorang Muslim, meskipun menyedari cabaran yang dihadapi dalam memenuhi kehendak pengarah.
Kalau boleh saya dah tak nak bawa babak dukung dan bersentuhan.
“Kalau sentuh pun ada halal ‘gap’, berbaju, berlapik dan tak kena kulit.
“Saya pun dah masuk 50-an. Mana tahu kubur sudah memanggil, kena jagalah,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui pada majlis rumah terbuka iQIYI Raya di Andaman Grand Ballroom, semalam.
Menjelaskan lebih lanjut, pelakon filem KL Gangster itu mengakui sudah lama cuba mengurangkan babak intim dan lebih tegas dalam memastikan setiap aksi tidak melampaui batas
“Sebenarnya dah lama cuba, kadang-kadang kena faham ‘screen play’, pengarah dan terpaksa buat.
Tapi tak adalah keterlaluan macam dulu peluk-peluk atau rapat-rapat. Selagi boleh ‘cheat’ kita buat.
“Pihak produksi faham sebab kontrak dengan manusia, kita jaga tapi kontrak dengan Allah tak jaga,” ujarnya. – HIBGLAM
