SUSULAN kritikan mengenai penglibatan rakan artis dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla 2.0, pendakwah bebas PU Rahmat meminta orang ramai tidak menyekat potensi golongan wanita untuk berjihad.
Dalam masa sama, pemilik nama lengkap Rahmat Ikhsan Mohd. Sofyan, 33, itu mempertahankan Nadzmi Adhwa yang memberikan keizinan kepada isterinya, Ardell Aryana untuk berlayar ke bumi Gaza, Palestin.
“Kalian tak nak benarkan isteri kalian sertai sumud itu hak kalian.
Nak simpan bini dalam rumah dan layan Netflix sampai 100 episod pun silakan. Cuma jangan halang Nadzmi Adhwa benarkan Ardell berjuang.
“Jangan halang potensi wanita menjadi hebat di sisi Allah,” katanya dalam Threads.
Pernah berlayar bersama, PU Rahmat menjelaskan bahawa Ardell sangat menjaga keperibadiannya sepanjang berada di atas kapal.
“Hal aurat, ikhtilat kau pernah tengok ke aurat Ardell? Dia ini hampir 24 jam pakai tudung atas kapal.
Ardell ini atas kapal aku selisih dengan dia mesti duduk bucu kapal sebab dia jaga maruah dirinya.
“Sibuk maruah bini kau sudahlah, jangan ingat Ardell sama macam bini kau yang pergi buang sampah depan rumah tak pakai tudung,” jelasnya.
Tambahnya, PU Rahmat turut menasihati orang ramai agar merujuk kepada badan autoriti agama dan pakar dalam bidang tersebut bagi mengelakkan kekeliruan.
Sebagai penutup sebab saya pun tak sempat nak ‘reply’ satu per satu, Mufti Wilayah orang alim yang layak dijadikan rujukan telah keluarkan bayan linnas (kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan).
“Kalian tak setuju dan nak balas dengan kenyataan mufti lain?
“Silakan, namun ingatlah perbezaan pendapat ulama adalah rahmat (yakni) kasih sayang Allah,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, media sosial kecoh apabila ramai mula mempertikai penyertaan beberapa selebriti tanah air yang kembali berlayar ke Palestin.
Selain Ardell, personaliti lain yang turut serta adalah pasangan beradik Heliza dan Hazwani Helmi, Haroqs serta empat lagi yang dirahsiakan identitinya. – HIBGLAM
