PELAKON Nur Fazura enggan memanjangkan isu susulan tular sepotong video memperlihatkan anaknya, Nur Fatima Aisha seperti dilayan acuh tidak acuh ketika majlis perkahwinan bekas suami, Fattah Amin dan Amira Othman sebagaimana trending di gelanggang media sosial.
Fazura atau nama lengkapnya, Nur Fazura Sharifuddin berkata, tujuannya mempertahankan pendiriannya hanyalah satu iaitu demi anak kesayangan yang masih kecil ketika ini.
“Tiada apa yang lebih saya utamakan di dunia ini selain anak yang saya lahirkan. Keutamaan saya sentiasa hanyalah kebahagiaan, keselamatan dan kesejahteraannya.
Semua terjadi dengan izin Allah SWT dan petunjuk-NYA. Saya berterima kasih kerana memberi pencerahan kepada saya tentang bagaimana anak perempuan saya telah dilayan,” katanya menerusi Threads.
Peminat terbabit bertindak memohon maaf atas keterlanjuran berkongsi video yang tiada hujung pangkal dan membuatkan keadaan di media sosial ‘tegang’ dengan segala cacian dan tohmahan daripada para pengguna laman sosial
Terdahulu, Fazura berkongsi reaksi tersebut menerusi ruangan komen pada satu hantaran yang dimuat naik oleh seorang pengguna di aplikasi Threads.
Dalam hantaran itu, individu berkenaan turut meluahkan rasa simpati terhadap Fatima serta berharap kejadian tersebut tidak berulang lagi.
Menerusi video yang tular, Fatima dilihat duduk di belakang bapanya, pelakon Fattah Amin bersama isteri Amira Othman.
Dalam rakaman tersebut turut kelihatan seorang lelaki dipercayai pembantu peribadi aktor berkenaan sementelah Fatima yang duduk di atas pelamin kelihatan terpinga-pinga tanpa diberi perhatian.
Fazura kemudian memberitahu itu merupakan kali pertama dia melihat rakaman tersebut dan apa yang disaksikan benar-benar mengejutkan serta menyentuh perasaannya sebagai seorang ibu serta tidak selayaknya anak kecil itu diperlakukan sedemikian.
“Siapa di sini pandai baca gerak bibir? Yang kiri sekali tu cakap apa? ‘Biar je dia kat situ?… Dia (Fatima) bukan objek, dia anak saya.
“Saya minta maaf tapi ini kali pertama saya menonton video ini. Bagaimana? Apa yang dilakukan terhadap anak saya?” katanya.
Bagaimanapun, hasil tinjauan mendapati hantaran asal telah dipadam, namun tangkap layar rakaman tersebut dikongsi semula oleh pengguna lain di media sosial.
Untuk rekod, Fazura pernah mendirikan rumah tangga dengan Fattah pada 27 November 2017 dan bercerai pada 7 Oktober 2024.
Fattah kemudiannya bernikah dengan Amira pada 14 September 2025. – HIBGLAM
