Doakan Bella bahagia hingga ke anak cucu – Aliff Aziz

PENYANYI sensasi, Aliff Aziz bersyukur dan tumpang gembira melihat kebahagiaan dikecapi bekas isteri, Bella Astillah yang kini bergelar tunangan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq.

Pada masa sama, Aliff, 35, mendoakan agar kesejahteraan tersebut berkekalan buat selamanya.

“Alhamdulillah, saya tumpang gembira melihat mereka bahagia.

Saya doakan semoga kebahagiaan itu berkekalan hingga ke anak cucu, insya-Allah.

“Saya juga berharap masyarakat dapat mendoakan yang baik-baik buat semua,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui pada majlis rumah terbuka iQIYI Raya, hari ini.

Tambah pelantun lagu Sayang Sayang itu mengakui menonton rakaman majlis pertunangan bekas isterinya selepas dihantar kenalan.

“Saya ada nampak beberapa klip yang dihantar.

Sejujurnya, saya doakan yang terbaik. Ini bukan sekadar kata-kata tetapi datang daripada hati yang ikhlas,” ujarnya.

Menyentuh mengenai pertunangan, Aliff hanya menyerahkan urusan tersebut kepada Illahi selain mahu memberi laluan untuk mengembangkan karier.

“Buat masa ini, saya serahkan soal jodoh kepada Allah SWT.

“Ini bukan jawapan klise, tetapi saya sedar masih banyak perkara perlu diperbaiki untuk bangkit semula.

Saya mahu memberi tumpuan kepada diri sendiri dan kerjaya terlebih dahulu.

“Saya hanyalah manusia biasa yang tidak lari daripada melakukan kesilapan dan saya mohon maaf jika ada yang terguris dengan perkongsian saya sebelum ini,” jelasnya lagi.

Sebelum ini, Bella dan Syed Saddiq mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu dalam satu majlis yang berlangsung di ibu negara.

Bella sebelum ini mendirikan rumah tangga bersama Aliff pada September 2016.

Pasangan itu pernah bercerai pada 16 Mei 2019 sebelum rujuk semula dan berpisah kali kedua pada Mac 2024.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Ayden, 9, dan Ara, 6. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok