TRAUMA dan bimbang sekiranya ditakdirkan untuk melalui fasa kehilangan anak sekali lagi membuatkan pelakon Amyza Aznan sukar melelapkan mata pada waktu malam.
Menurut Amyza, 49, dirinya diselubungi perasaan bimbang selepas pemergiaan anak sulungnya, Allahyarham Andre Mikhail akibat kanser paru-paru pada 23 Februari lalu.
“Semakin hari, dada rasa makin sesak. Setiap malam saya sangat susah nak tidur sebab macam-macam perkara bermain-main dalam kepala.
Perasaan takut itu sebab pernah melalui fasa kehilangan Andre yang tiba-tiba kesihatannya merosot, kritikal dan esok sudah tiada.
“Sekarang saya memang susah tidur, bila tengok anak sebelum tidur rasa sesak, faham tak?” katanya dalam siaran langsung Instagram hari ini.
Bagi mengurangkan kerisauan tersebut, dia mengakui memerlukan teman untuk meluahkan perasaan ketika ini.
“Saya perlu meluah dan bercakap tentang benda ini, jadi takut. Susah nak gambarkan rasa ini macam mana.
“Perasaan itu bercampur-baur, jadi takut.
Saya perlukan seseorang dan kawan untuk meluah, selain keluarga, tapi adakalanya saya perlukan juga orang luar,” katanya lagi.
Berkongsi lanjut, Amyza berkata, anak keduanya, Adrian Adam Khairil Azhar, 18, yang disahkan menghidapi kanser tulang kini dalam tempoh melakukan rawatan.
“Saya memang jenis tak kongsi sangat mengenai perkembangan kesihatan Adrian sama seperti saya lakukan ketika arwah Andre sakit.
Sekarang Adrian sudah mulakan rawatan cuma bukan semua mendapat keputusan terus, ada yang ambil masa selama berminggu-minggu termasuk keputusan makmal.
“Bagi saya, penantian itu semua seperti ‘timebomb'” katanya yang turut melakukan ikhtiar rawatan alternatif.
Terdahulu, jenazah Andre selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana pada 24 Februari lalu.
Ujian buat Amyza tidak terhenti di situ apabila Adrian pula disahkan menghidap kanser tulang pada hari pertama Ramadan lalu. – KOSMO! ONLINE
