Rita Rudaini bela diri, fail tuntutan balas

PELAKON Rita Rudaini memfailkan pembelaan terhadap saman yang dikemukakan Profesor Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor dan Dr. Saidah Haris @ Harith berkaitan isu membabitkan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor, hari ini.

Rita atau nama sebenarnya, Rita Rudaini Mohammad Mokhtar, 50, turut mengambil tindakan undang-undang dengan memfailkan tuntutan balas terhadap kedua-dua plaintif berkenaan, selain menamakan peguam mereka sebagai Defendan Ketiga dalam tuntutan tersebut.

Menurut Rita, tindakan itu diambil susulan sidang media yang diadakan kedua-dua plaintif bersama peguam mereka pada 7 Disember 2025 didakwanya mengandungi kenyataan bersifat fitnah serta mengelirukan orang awam terhadap dirinya.

“Sidang media tersebut menggambarkan seolah-olah pertelingkahan melibatkan Muafakat MRSM Sungai Besar sebagai sebuah organisasi, sedangkan saman yang difailkan adalah atas kapasiti individu persendirian.

“Saya tidak pernah ada sebarang masalah dengan Muafakat MRSM Sungai Besar sebagai sebuah organisasi. Malah, ketika ia diterajui kepimpinan terdahulu sekitar tahun 2022 hingga 2024, saya antara individu yang sentiasa memberi sokongan.

Apa yang saya persoalkan adalah berkaitan kredibiliti kedua-dua plaintif secara individu. Jadi, mengapa keseluruhan Muafakat termasuk ahli jawatankuasa lain perlu tampil bersama dalam sidang media seolah-olah organisasi itu sendiri yang mengambil tindakan terhadap saya,” katanya dalam kenyataan media.

Rita juga menafikan dakwaan yang dibuat dalam sidang media berkenaan bahawa dia tidak pernah merujuk isu-isu berbangkit kepada pihak plaintif sebelum membuat kenyataan di media sosial.

“Isu-isu yang dibangkitkan bukan perkara baharu. Saya bersama ibu bapa lain telah lama mengemukakan aduan sejak kedua-dua plaintif memegang jawatan dalam Muafakat MRSM Sungai Besar.

Namun, apa yang mengecewakan adalah kegagalan mereka untuk memberikan maklum balas yang sewajarnya dalam menangani aduan-aduan tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, peguam yang mewakili Rita, Mohd. Syakirin Syazwan daripada Tetuan Syakirin Syazwan & Co, mengesahkan pemfailan Pembelaan dan Tuntutan Balas tersebut dibuat mengikut prosedur undang-undang yang ditetapkan.

Terdahulu, pada Disember tahun lalu Yang Dipertua Muafakat MRSM Sungai Besar serta timbalannya mengambil tindakan undang-undang terhadap pelakon itu susulan dakwaan fitnah dan notis tuntutan RM1 juta tidak dipatuhinya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok