Anoushka Shankar beraksi di Kuala Lumpur 4 Oktober ini

KEMBALI ke Kuala Lumpur selepas 14 tahun, pemain sitar tersohor dunia, Anoushka Shankar bakal mengadakan persembahan eksklusif pada 4 Oktober ini.

Konsert yang akan berlangsung di Pusat Konvenayen Kuala Lumpur itu dijangka bakal menjadi antara fiesta muzik yang ditunggu-tunggu ramai untuk tahun ini.

Persembahan tersebut bukan sahaja meraikan evolusi muzik dunia, malah menyajikan irama yang membuai jiwa sekali gus memberikan pengalaman terindah.

Anoushka berkata, kepulangan ke Malaysia membawa makna tersendiri selepas sekian lama tidak beraksi di hadapan peminat tempatan.

“Saya sangat teruja untuk kembali ke Kuala Lumpur selepas 14 tahun dan berkongsi perjalanan muzik terbaharu saya bersama penonton di sana,” katanya.

Anak kepada legenda sitar dunia, Ravi Shankar itu turut mengakui kemunculan di pentas mega kali ini akan menampilkan dimensi emosi yang lebih mendalam.

Konsert ini bakal menampilkan karya daripada album terbaharunya, Chapter III: We Return to Light yang menyentuh tema penyembuhan, harapan dan transformasi, selain interpretasi baharu karya terdahulu.

Sepanjang tiga dekad kerjaya muziknya, beliau pernah bekerja dengan ramai nama besar termasuk Herbie Hancock, Patti Smith, Sting, Zubin Mehta, Joshua Bell, Arooj Aftaf serta Norah Jones.

Anoushka juga penerbit dan komposer pernah menerima 13 kali pencalonan di Anugerah Grammy.

Dibawakan Shiraz Projects, tiket konsert akan mula dijual pada 8 April ini bermula pukul 11 pagi menerusi tempahan di www.ticket2u.com. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok