‘Allah tentukan rezeki, bukan sebab saya pelaris filem box office’

PELAKON, Amir Nafis enggan terlalu mendabik dada apabila sebilangan pihak menyifatkan dirinya sebagai pelaris sesebuah filem.

Sebelum ini, ada pengguna akaun media sosial Threads yang berpendapat filem-filem dibintangi Amir mendapat kutipan pecah panggung termasuklah Sheriff, Blood Brothers dan yang terbaharu, Malaikat Malam.

Menurut Amir atau nama lengkapnya Amir Nafis Ma’arof, 34, setiap filem yang dibintanginya mendapat kutipan pecah panggung adalah kerana kehebatan naskhah itu sendiri.

“Saya beruntung dan bernasib baik kerana terlibat dalam kesemua filem tersebut. Kalau nak cakap sayalah punca filem-filem tersebut menjadi ‘box-office’, saya rasa banyak lagi sebab.

“Allah yang tentukan rezeki itu. Jadi saya menolak dakwaan kononnya saya pelaris atau punca filem-filem tersebut mendapat kutipan pecah panggung,” katanya kepada HibGlam.

Bagaimanapun menurut Amir, dalam setiap filem yang dibintanginya, dia akan memberikan hasil kerja yang terbaik.

“Saya bekerja keras untuk setiap filem yang saya bintangi. Saya tahu setiap peruntukan dalam filem. Saya buat ‘homework’ dan berikan sehabis baik,” jelasnya.

Amir turut akui namanya kini mula dikenali ramai, malah ada peminat bukan Melayu juga mengenalinya dan minta untuk bergambar.

“Sekarang kalau saya pergi mana-mana orang akan minta nak bergambar. Dulu penanda aras saya kalau nak tahu saya dikenali atau tidak saya akan pergi ke pusat beli belah One Utama. Kalau tak ada orang nak bergambar, maknanya saya belum dikenali.

“Kita tahu One Utama dikunjungi oleh pelbagai bangsa. Tetapi kini bila saya ke sana sudah ada peminat yang nak bergambar termasuklah daripada bangsa lain. Jadi saya rasa tahap populariti yang dah naik satu aras.

“Saya sudah berlakon sejak tahun 2017. Saya sangat cintakan bidang lakonan. Namun saya tak pernah fikirkan tentang populariti. Mungkin sebab itu populariti itu datang lambat,” ujarnya.

Lebih menyerlah di layar lebar berbanding kaca televisyen, kata Amir dia sendiri tidak faham kenapa tiada tawaran berlakon drama yang singgah kepadanya.

“Bukannya saya memilih untuk tidak berlakon drama dan hanya fokus pada filem, tetapi tiada tawaran berlakon drama untuk saya. Saya sendiri tak tahu kenapa. Mungkin penerbit ingat bayaran saya mahal atau wajah saya sudah dicop sebagai pelakon filem.

“Tetapi kalau ada tawaran sudah pasti saya akan terima dengan senang hati kerana berlakon adalah minat saya,” kongsinya.

Dalam perkembangan lain, filem terbaru lakonan Amir berjudul Mikael: Pemburu Dua Alam kini sedang rancak ditayangkan di pawagam seluruh negara. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok