DILAHIRKAN sebagai anak seorang rocker ternama adalah ‘tiket emas’ buat si pendatang baharu, Putra Ahmad Merrah untuk meraih populariti segera dalam dunia seni.
Memilih mengikut jejak langkah bapanya, Datuk Awie sebagai penyanyi, anak muda yang mesra disapa Merrah itu mengakui membawa nama sebagai anak Awie adalah beban berat buat dirinya.
Akui jejaka berusia 19 tahun itu, dia kini dalam usaha untuk dikenali dengan identiti sendiri berbanding terus dibayangi imej legenda, sang vokalis Wings itu.
“Sebagai seorang anak, sangat berat beban ini sebab ayah saya saya merupakan legenda dalam dunia seni.
Namun, saya tak mahu menggunakan populariti bapa untuk diri sendiri dan memilih agar orang ramai kenal saya sebab karya serta bakat sendiri.
“Mungkin bagi segelintir orang, itu kelebihan tetapi kalau boleh nak orang tahu kewujudan saya bukan sebagai anak Awie malah kurang suka jadi bayang-bayang bapa sendiri,” katanya kepada HibGlam.
Meski mengakui tidak akan dapat lari daripada dibayangi imej Awie, Merrah bagaimanapun menegaskan orang ramai boleh melihat perbezaan genre yang diperjuangkan iaitu pop balada.
“Memang saya tak akan dapat lari tetapi saya dan ayah ada perbezaan genre, dia rock, manakala jiwa saya lebih kepada pop balada.
Saya kurang sikit dengan rock dan hanya membawakan genre tersebut bila ganti ayah ketika sesi latihan dengan Wings.
“Saya sendiri rasa tak sedap bila nyanyi lagu rock dan ayah sendiri pernah beritahu saya lebih sesuai lagu balada,” katanya lagi.

POPULARITI sedang meledak, Merrah tetap berpegang pesanan bapanya untuk fokus penuh terhadap pelajaran ketika ini.
Dia juga berkali-kali menegaskan masih belum menganggap dirinya sebagai seorang selebriti meski namanya sudah menjadi bualan ramai dalam media sosial.
Merrah bahkan masih dalam fasa beradaptasi dengan dunia baru termasuk dikenali ramai.
“Sehingga hari ini, saya sebenarnya tak anggap diri sebagai selebriti.
Bila orang mula kenal, memang terkejut dan tak jangka perkara tersebut termasuk jumlah pengikut media sosial bertambah, saya sangat berterima kasih.
“Tapi sebenarnya saya sangat takut bila dikenali, risau tersasul bila bercakap dan sebagainya. Jadi, memang banyak lagi perlu saya belajar,” tuturnya yang turut melancarkan lagu raya berjudul Raya Tak Nak Single bersama Zaki Yamani.
Pelajaran
Dilihat aktif dengan dunia seni, anak hasil perkahwinan Awie dengan Rozana Misbun itu mengakui, pelajaran menjadi prioriti ketika ini.
Ujarnya, perkara tersebut merupakan permintaan bapanya yang mahu pelajaran menjadi keutamaan berbanding bidang seni.
“Ayah memang nak anak-anak jadikan pelajaran nombor satu ketika ini. Dia pentingkan pendidikan berbanding hal lain.
“Dia tidak halang menyanyi tetapi tegaskan mahu saya ada masa depan dan berjaya dalam pelajaran,” kongsinya.
Sedang menyambung pengajian di peringkat diploma di sebuah universiti, dia mengakui agar sukar untuk membahagikan masa antara pelajaran dan aktiviti seni.
“Susah sebenarnya nak seimbangkan jadual belajar dan seni.
“Banyak juga tawaran nyanyian tetapi perlahankan dulu.
“Tawaran lakonan pun ada tetapi saya tak dapat lakukan sebab tak mahu ganggu pelajaran, itu fokus utama ketika ini,” jelasnya yang turut bercita-cita menjadi seorang ahli perniagaan. – HIBGLAM
