‘Kami akan kemukakan semula permohonan dalam waktu terdekat’

ENGGAN berundur, pelakon Fattah Amin nekad memfailkan semula permohonan bagi mendapatkan kebenaran memulakan prosiding komital terhadap bekas isterinya, Nur Fazura, selepas permohonan terdahulu ditolak Mahkamah Tinggi Syariah Selangor pada 31 Mac lalu.

Ujar peguam mewakili Fattah, Datuk Akberdin Abdul Kader, penolakan berkenaan bukan muktamad, sebaliknya mahkamah meminta beberapa perkara diperincikan sebelum permohonan difailkan semula.

“Permohonan tersebut bukan ditolak sepenuhnya, cuma mahkamah minta diperincikan beberapa perkara sebelum difailkan semula.

“Jadi kami akan kemukakan semula permohonan dalam masa terdekat dengan penjelasan lebih lengkap,” katanya.

Tambah Akberdin, tindakan itu diambil susulan dakwaan Fazura melanggar perintah mahkamah berkaitan hak lawatan anak mereka, Nur Fatima Aisya, sebanyak enam kali.

“Saya dimaklumkan Fazura melanggar perintah mahkamah sebanyak enam kali, termasuk tidak menunaikan janji memberi hak lawatan kepada Fattah dengan alasan berada di London.

“Fattah juga berdepan kesukaran untuk bertemu anak sejak perceraian, namun dia tetap bersabar walaupun sering diberi pelbagai alasan,” jelasnya.

Paling penting katanya, selepas sekian lama bertolak ansur, Fattah akhirnya memilih saluran undang-undang demi memastikan hak sebagai bapa dihormati.

Selepas banyak kali bertolak ansur, Fattah terpaksa mengambil tindakan ini supaya perintah mahkamah dipatuhi.

“Kali ini dia mahu mahkamah tentukan apa terbaik untuk dirinya sebagai bapa,” katanya.

Menurutnya lagi, walaupun hak penjagaan penuh diberikan kepada Fazura, Fattah masih mempunyai hak lawatan termasuk bermalam dua kali sebulan serta pertemuan tiga kali seminggu.

Bagaimanapun, hak tersebut didakwa sering terhalang hingga menjejaskan hubungan antara bapa dan anak.

“Hak lawatan tersebut sepatutnya dipatuhi. Jika terus dihalang, tindakan undang-undang akan diambil.

Ini bukan soal menang atau kalah, tetapi tanggungjawab seorang bapa terhadap anak,” ujarnya.

Terdahulu, Fattah gagal memperoleh kebenaran memulakan prosiding komital terhadap Fazura di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 31 Mac lalu.

Prosiding komital berkenaan boleh membawa kepada hukuman penjara sekiranya didapati melanggar perintah mahkamah.

Untuk rekod, Fattah dan Fazura sah bercerai talak satu pada 7 Oktober 2024 selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok