BERHASRAT mengumpulkan semua sahabat lama dalam konsert Kristal OG, penyanyi Lan Solo mengakui memulakan langkah dengan menghubungi gitaris utama kumpulan Kristal, Rody bagi mengatur pertemuan.
Begitupun, usaha Lan atau nama sebenarnya Muhammad Razlan Mohamed Yusof, 40, tidak kesampaian apabila rakannya itu berlengah-lengah memberikan respons hingga konsert yang bakal diadakan pada Mei ini diteruskan tanpa Rody serta seorang lagi ahli asal, Ainul.
“Sebaik menerima tawaran ini sekitar Jun tahun lalu, Rody orang pertama saya maklumkan dan minta kami bersemuka memandangkan sudah lama tidak bertemu. Bagi saya, lebih baik berbincang depan-depan daripada bermesej menerusi WhatsApp.
“Tetapi hari demi hari, dia hanya beri jawapan ‘nanti fikir’ selain bagi alasan sibuk. Dari Jun 2025 hingga Julai menghampiri Ogos, saya buat keputusan berhenti mencuba.
“Begitu juga dengan Ainul. Kita tak boleh tunggu, jadi kami akan teruskan Konsert Kristal OG dengan bekas anggota yang lain,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsert Kristal OG bersempena 25 tahun perjalanan seni band tersebut.
Konsert berkenaan adalah anjuran Pertubuhan Kasih KhaiRosma dengan kerjasama Blavia dan Andromeda Event serta mendapat sokongan Dana Kandungan Kreatif daripada Kementerian Komunikasi.
Pada masa sama, Lan mengakui sudah lama tidak berhubung dengan Rody, Lan berkata, dia meminta nombor telefon sahabatnya itu daripada adik gitaris terbabit, Acap.
“Saya dapatkan nombor telefon melalui Acap kerana sudah lama kami tidak berhubung. Saya cuba hubungi tetapi tidak berjawab, mungkin dia tidak kenal nombor saya.
“Namun dia ada WhatsApp bertanya siapa saya. Itu menunjukkan dia tidak simpan nombor saya. Saya terus perkenalkan diri dan beritahu ingin berbincang mengenai satu projek,” ujarnya.
Akui vokalis berkenaan, dia hanya mahu memperbaiki hubungan selain memenuhi permintaan peminat yang ingin melihat mereka kembali sepentas.
“Saya sudah rendahkan ego kerana rasa ini masa sesuai tetapi agak kecewa apabila tidak menjadi seperti dirancang,” ujarnya.
Lan juga menghormati keputusan yang Rody seterusnya memberikan fokus terhadap konsert yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 1 Mei nanti.
“Bohong kalau saya kata tidak kecewa. Ini jalan pertama yang saya pilih iaitu berjumpa dan berbincang bagi jadikan konsert ini satu memori indah buat Kristal sempena ulang tahun ke-25.
“Apabila perancangan tidak dapat dilakukan, saya anggap belum ada rezeki. Saya perlu teruskan fokus dan hormati keputusan yang diberikan,” jelasnya.
Terdahulu, kemelut dua antara dia sahabat ini tercetus dipercayai sebaik Lam membuat keputusan menyertai Gegar Vaganza musim keempat pada tahun 2017.
Selepas itu, Rody membuat keputusan untuk ‘merehatkannya’ dan mencari vokalis pengganti sekali gus mendorong Lan keluar dari kumpulan Kristal.
Selepas itu masing-masing mengatur haluan sendiri sebelum Lan tampil bersama Kristal X sekitar enam tahun lalu bersama beberapa bekas anggota lain. – HIBGLAM.
