‘Kalau dulu saya rapuh tapi sekarang sudah lepaskan’

SUDAH memasuki fasa reda dan berserah, penyanyi Nourul Depp memilih untuk tidak lagi memikirkan kemelut dingin bersama anak sulungnya, Ayu Nazirah, sejak beberapa tahun lalu.

Ujar Nourul atau nama sebenarnya Noorulhuda Abdul Wahab, 49, konflik tersebut bukan isu baharu, sebaliknya sudah lama dipendam sebelum kembali diperkatakan demi memberi perspektif sebagai seorang ibu dalam sebuah audio siar yang tular baru-baru ini.

“Kisah ini sebenarnya sudah lama, hampir empat tahun. Saya bercerita bukan untuk membuka aib, walau apa pun berlaku, dia tetap anak saya.

“Saya biarkan dia mencari haluan sendiri. Saya juga pernah melalui fasa mencari diri dan melakukan kesilapan. Apa yang saya mahu sampaikan, seorang ibu tetap ibu, walau sejauh mana anak melangkah,” katanya kepada HibGlam.

Tambah pelantun lagu Kerana Terluka itu, dirinya kini lebih tenang selepas memilih untuk melepaskan beban emosi demi kesihatan diri.

“Kalau ditanya dua atau tiga tahun lalu, mungkin saya masih rapuh. Tapi sekarang saya sudah lepaskan. Saya sayangkan diri sendiri tanpa pernah berhenti menyayangi anak.

“Kita sebagai ibu bapa banyak berkorban, berjaga malam, berikan segalanya. Jadi saya tanya diri, adakah saya layak terus memikul kekecewaan tanpa penghujung?

“Saya tak mahu lagi tertekan kerana pernah berdepan kanser. Tekanan boleh undang penyakit, jadi saya pilih untuk hidup lebih tenang,” ujarnya pada sidang media Konsert For You Nourul, di sini, kelmarin.

Paling penting katanya, dia enggan lagi mendesak anaknya untuk berdamai kerana bimbang keadaan menjadi lebih parah.

“Ada perkara jika terlalu didesak akan jadi lebih buruk. Saya akui sebagai ibu, saya juga ada kesilapan.

“Saya pernah anggap anak sebagai kawan, sedangkan perlu ada batas. Itu antara perkara yang saya belajar sepanjang melalui ujian ini.

“Sampai satu tahap, saya rasa tidak mampu memaksa lagi. Jadi saya serahkan kepada Allah, terus berdoa dan sabar menunggu waktu terbaik,” luahnya.

Bagi Nourul, tindakan tersebut bukan kerana mementingkan diri sebaliknya hanya mahu semuanya mengalir mengikut ketentuan Tuhan.

“Mungkin kedengaran pentingkan diri, tetapi ini cara saya menjaga hati dan kesihatan. Jika minda tidak stabil, tubuh juga akan sakit.

“Bukan saya tidak mahu selesaikan, tetapi saya memilih untuk melepaskan dengan reda,” tuturnya

Sebelum ini, Nourul pernah memberi bayangan hubungan dingin bersama anak sulungnya tanpa mendedahkan punca sebenar malah dia juga beberapa kali meluahkan rasa rindu terhadap Ayu, 28.

Untuk rekod, Ayu merupakan hasil perkahwinannya bersama komposer Ajai sebelum berpisah pada 2007.

Lima tahun kemudian, Nourul mendirikan rumah tangga bersama lelaki warga Perancis, Eric Daniel Depp.

Hasil perkahwinan kedua, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Zachary, Raphael dan Isabella. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok