‘Dilihat sebagai sumber inspirasi, saya hanya mampu bersyukur’

MENJADI figura rujukan dalam kalangan pelakon generasi baharu, aktor Beto Kusyairy tetap merendah diri meskipun sering dianggap inspirasi dalam industri seni.

Bagi Beto atau nama sebenarnya Nurkusyairy Zakuan Osman, 46, perjalanan seni bukan pentas untuk mengangkat diri sebagai idola, sebaliknya ruang untuk terus belajar dan berkongsi pengalaman.

“Saya tiada masalah bekerjasama dengan pelakon baharu atau pelapis, asalkan mereka serius dengan apa dilakukan.

“Jika apa saya lakukan mampu memberi inspirasi untuk mereka memperbaiki mutu lakonan, alhamdulillah, teruskan. Namun, saya tidak pernah meletakkan diri sebagai idola. Itu bukan hak saya,” katanya kepada HibGlam.

Mengulas lanjut, Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) itu mengakui sentiasa membuka ruang buat generasi baharu kerana merekalah bakal mewarnai industri pada masa depan.

“Kalau mereka melihat saya sebagai sumber inspirasi, saya hanya mampu bersyukur dan terus menyokong.

“Saya percaya pelapis baharu inilah nanti akan menggantikan kita. Jadi, sokongan itu penting,” ujarnya pada malam gala serta tayangan perdana filem Gayong 2, di sini, malam tadi.

Dalam perkembangan lain, Beto sekali lagi diberi kepercayaan menggalas watak pengasas silat Gayong, Mahaguru Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman (ADMAR) dalam filem Gayong 2 terbitan SOL Pictures Sdn. Bhd.

Mengimbas cabaran sepanjang penggambaran, Beto mengakui kekangan masa menjadi antara ujian terbesar, terutama melibatkan latihan aksi dan koreografi.

“Cabaran utama ialah kekurangan masa berehat selain aspek koreografi. Untuk filem pertama, kami masih sempat berlatih walaupun terhad.

“Namun bagi Gayong 2, hampir keseluruhan koreografi dilakukan di set tanpa latihan mencukupi.

“Walaupun begitu, dengan komitmen semua pihak, kami tetap berjaya memberikan hasil terbaik,” jelasnya.

Sekuel berkenaan membawa perjalanan ADMAR ke fasa hidup lebih kompleks dan mencabar, bukan hanya sebagai pendekar, malah sebagai pegawai CID di bawah pentadbiran British selepas Perang Dunia Kedua di Singapura.

Selain Beto, filem arahan Faisal Ishak turut mengekalkan barisan pelakon seperti Nabila Huda, Syafie Naswip, Fauzie Laily, Bobby Tonelli, Rabbit Chen dan Hanna Aqeela.

Menariknya, naskhah epik tersebut turut memperkenalkan Miss Malaysia 2024, Sandra Lim menerusi penampilan sulung sebagai watak Jade, sekali gus menambah warna baharu dalam dunia perfileman tempatan. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok