8
TERKESAN dengan kemalangan maut akibat pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah, pelakon Zara Zya berang perkara tersebut terus berlarutan sehingga mengorbankan nyawa individu tidak bersalah.
Tegas Zara atau nama asalnya Zainurul Razia Mohd. Zainuddin, 40, memandu dalam keadaan mabuk bukanlah satu kesilapan yang tidak disengajakan, sebaliknya satu pilihan yang membawa risiko kematian.
“Seriuslah, sampai bila kita nak biar isu pemandu mabuk ini berulang? Setiap kali ada kes, mesti ada nyawa tak bersalah yang terkorban.
“Yang pergi kerja, balik rumah, sekadar lalu, semua jadi mangsa kecuaian orang lain.
Memandu dalam keadaan mabuk bukan kesilapan kecil. Itu pilihan, yang boleh bunuh orang,” katanya dalam Threads.
Tambah pelakon Sumpah Ibuku itu denda yang dikenakan tidak cukup berat untuk membuatkan seseorang berfikir dua kali sebelum memandu dalam keadaan mabuk.
“Undang-undang memang ada tapi kalau masih longgar atau penguatkuasaan tak tegas, benda ini takkan berhenti.
“Orang tak rasa takut. Denda tak cukup memberi pengajaran hukuman tak cukup berat untuk buat mereka fikir dua kali,” tegasnya.
Dia turut mendesak pihak berkuasa agar bertindak lebih agresif tanpa berkompromi dengan keselamatan orang awam sebelum lebih banyak nyawa menjadi galang ganti.
“Kenapa perlu tunggu lebih ramai jadi korban baru nak bertindak lebih tegas?
“Ketatkan undang-undang. Perketatkan penguatkuasaan, jangan kompromi dengan keselamatan orang awam.
Sebab satu keputusan bodoh di jalan raya, boleh hancurkan banyak kehidupan. Cukup-cukuplah!,” tegasnya lagi.
Sebelum ini, seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh kereta dipandu individu yang dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Raya Barat, Klang.
Siasatan awal mendapat kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 20-an dipercayai memotong beberapa kenderaan sebelum melanggar motosikal mangsa.
Akibat pelanggaran terbabit, lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an tercampak ke atas sebuah Perodua Myvi sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Lelaki terbabit direman selama empat hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – HIBGLAM
