‘Kalau ada peluang ‘u-turn’, kembalilah Marissa’

MESKIPUN hanya berstatus bapa tiri, suami kepada penyanyi dan pelakon, Abby Abadi, Muhammad Faizal Zakaria menasihati Marissa Dania Hakim agar tidak mensia-siakan zaman mudanya.

Malah, Faizal memaklumkan bahawa pintu untuk memperbaiki keadaan sentiasa terbuka selagi ada kemahuan dan peluang.

“Adik Marissa, Allah lebih mengetahui mana yang terbaik. Kalau ada peluang untuk ‘u-turn’ (patah balik) kembalilah.

“Hidup adik masih panjang, jangan sia-siakan kehidupan adik.

“Abah sentiasa doakan adik dunia akhirat. Walaupun bukan anak kandung, abah mahukan yang terbaik untuk adik,” katanya dalam Threads.

Faizal turut menyarankan agar wanita berusia 20 tahun itu mengambil ruang untuk bersendirian sekiranya berpeluang, demi mencari kebahagiaan hakiki dan membina masa depan yang lebih terjamin.

“Perhatikan apa yang berlaku sepanjang kehidupan adik selama ini, adakah membahagiakan atau sebaliknya.

“Kalau ada peluang untuk bersendirian, jangan lepaskan.

“Di hadapan adik masih luas ruangnya. Bina kehidupan, kerjaya dan capai cita-cita,” katanya lagi.

Rata-rata memuji tindakan Faizal yang selalu mengambil berat terhadap Marissa walaupun tiada talian darah.

“Jarang nampak bapa tiri nak masuk campur tapi ini menunjukkan bagaimana dia sangat mengambil berat untuk dia (Marissa),” kata netizen.

“Abah Jai jarang betul bersuara mengenai anak-anak Abby tapi dia lah paling risau dan ambil berat,” ujar netizen lain.

“Bapa yang terbaik, untung dia ada ayah yang sayang dia walaupun hanya ayah tiri,” tutur netizen lagi.

Semalam, Marissa dan suaminya, Ahmad Aslam hadir ke mahkamah berikutan prosiding bagi menentukan status sebenar hubungan mereka sama ada masih sah sebagai suami isteri atau sebaliknya.

Ini berikutan Ahmad Aslam didakwa pernah melafazkan cerai terhadap isterinya, Marissa Dania Hakim sebanyak dua kali di luar mahkamah sebelum kembali rujuk dalam tempoh berbeza.

Peguam syarie mewakili Aslam, Muhammad Ammar Yaser Ahmad Nazri berkata, mahkamah belum dapat membuat keputusan muktamad berhubung kes tersebut dan menangguhkan kes ke tarikh yang akan dimakluman kelak.

Dalam masa sama, ketiadaan sijil nikah rasmi juga menyebabkan proses perundangan menjadi sedikit rumit.

Perkara itu berpunca daripada perkahwinan pasangan tersebut yang berlangsung di Songkhla, Thailand pada Disember 2023, sekali gus menyebabkan proses pendaftaran di negara ini masih belum selesai.

Sebelum ini, Marissa dan Aslam pernah hadir ke mahkamah sama pada Mei 2025 bagi tujuan pengesahan perkahwinan, namun proses berkaitan masih berlanjutan sehingga kini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok