8
PENGACARA Aidid Marcello dan isteri yang juga bekas hos, Norzie Pak Wan Chek berkongsi rasa bangga dengan kejayaan anak sulungnya, Muhammad Iman meraih keputusan cemerlang 8A 1B Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hari ini.
Menurut Aidid, dia tidak menyangka Muhammad Iman mendapat keputusan cemerlang terutama selepas lebih setahun meninggalkan sekolah sebelum bergelar tahfiz di Akademi Al-Quran Amalilah (AKMAL).
“Alhamdulillah, ini semua kerja Allah SWT. Setahun setengah tinggalkan sekolah pergi hafal al-Quran, semua pun risau, sempat ke nak balik belajar.
“Macam-macam ujian Iman tempuh ketika berada di pusat tahfiz dan sewaktu sambung sekolah balik.
Tapi dia senyum, diam dan layan saja. Anak yang tidak banyak cakap, tak banyak menjawab kadang-kadang pelik bila dia belajar. Daddy dan mummy sangat bangga serta terkejut,” katanya dalam Instagram.
Tambah Aidid, doa adalah senjata terkuat yang mengiringi kejayaan anaknya.
“Memang betul, jangan pernah putus doa, minta mak, ayah, datuk dan nenek doakan.
“Tahniah juga kepada anak-anak yang lain, kita saling mendoakan semoga semua dipermudahkan dan dapat belajar di tempat yang terbaik serta berjaya dunia akhirat. Terima kasih Allah,” katanya lagi.
Pada 2024, Muhammad Iman berjaya menghafal 30 juzuk Al-Quran dalam tempoh 11 bulan di AKMAL.
Hari ini, selain Aidid dan beberapa selebriti popular termasuk Linda Rafar dan Rahmat Mega turut meraikan kejayaan anak mereka yang meraih keputusan cemerlang. – HIBGLAM
