‘Cinta perlu dipupuk, usah harap berbunga sendiri’

SELEPAS 13 tahun melayari bahtera rumah tangga, pelakon Liyana Jasmay mengakui kunci kebahagiaan bukan terletak pada tempoh perkahwinan semata-mata, sebaliknya usaha berterusan memupuk cinta.

Ujar Liyana, 38, dia masih berpegang pada pesanan arwah ibunya agar tidak mengambil mudah soal kasih sayang dalam hubungan suami isteri.

“Arwah mama saya pesan, cinta perlu dipupuk. Jangan dibiarkan dan berharap akan berbunga sendiri.

Ibarat pokok, kalau tidak disiram, pasti mati. Jadi kita kena sentiasa baja dan siram cinta dalam perkahwinan,” katanya dalam TikTok.

Pun begitu, bintang filem Puaka Niyang Rapik itu menegaskan setiap perkahwinan pasti diuji dengan pelbagai cabaran dan tidak pernah sunyi daripada dugaan.

“Jangan cemburu, ya. Perkahwinan memang bukan mudah, penuh ujian dan cabaran.

Kita jangan lupa sebab apa kita jatuh cinta dan memilih untuk berkahwin dengan pasangan kita.

“Insya-Allah, semoga perkahwinan kita semua berkekalan hingga ke syurga,” ujarnya.

Menjengah ruangan komen, rata-rata netizen memuji kematangan pemikiran ibu dua anak itu dalam menguruskan rumah tangga selain menjadikannya inspirasi untuk terus memperbaiki hubungan masing-masing.

Namun, ada juga segelintir yang berpendapat setiap pasangan mempunyai cara tersendiri dalam mengekalkan kebahagiaan tanpa perlu membandingkan dengan orang lain.

Untuk rekod, Liyana Jasmay mendirikan rumah tangga dengan Fathuddin Mazlan pada 2 Februari 2013.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata perempuan, Sofia Arissa, 11, dan Selena Jasmay, 9. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok