Aslam, Marissa ada sijil nikah – Peguam

SUSULAN kekeliruan mengenai status perkahwinan dengan anak kepada pasangan selebriti Abby Abadi dan Norman Hakim iaitu Marissa Dania, pempengaruh Aslam tampil menjawab beberapa persoalan bagi menamatkan tanda tanya orang ramai.

Dalam sebuah video, Aslam meminta peguam yang mewakili dirinya iaitu Muhammad Ammar Yaser Ahmad Nazri menjelaskan isu pendaftaran pernikahan mengikut undang-undang Malaysia.

“Saya diarahkan anak guam untuk memberikan penjelasan tentang beberapa kekeliruan. Yang pertama mengenai bila Aslam daftar (pernikahan).

Adakah daftar lambat? Kalau ikutkan apa Aslam buat inilah proses yang paling cepat kami dapat laksanakan.

“Kalau ikutkan dia tak boleh failkan apa-apa kes selepas daripada ini tapi kita berjaya,” katanya dalam sebuah video.

Dalam masa sama, Ammar turut memaklumkan pasangan kontroversi itu sudah memiliki sijil nikah selain mengulas isu pernikahan di Songkhla, Thailand.

“Yang kedua, nikah berlaku di Thailand dah selesai. Tutup cerita di situ sebenarnya.

“Pernikahan ini sah mengikut hukum syarak.

Ketiga, sijil nikah kita berjaya peroleh. Kalau tiada, kita tak dapat buat proses seterusnya,” katanya lagi.

Dalam video berdurasi 1 minit 45 saat, Aslam yang berada du sebelah peguamnya hanya mendiamkan diri sepanjang penjelasan dibuat.

Semalam, pasangan berkenaan hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi sebutan pertama kes pengesahan lafaz cerai dan rujuk di hadapan Hakim Syarie Nadia Khamis.

Ini berikutan Ahmad Aslam didakwa pernah melafazkan cerai terhadap Marissa Dania Hakim sebanyak dua kali di luar mahkamah sebelum kembali rujuk dalam tempoh berbeza.

Ammar berkata, mahkamah belum dapat membuat keputusan muktamad berhubung kes tersebut dan menangguhkan kes ke tarikh yang akan dimakluman kelak.

Terdahulu, pasangan tersebut mencetuskan perhatian ramai apabila dilaporkan bernikah di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023, ketika isteri pertama Aslam, Misya Mazlan sedang menunaikan umrah.

Perkahwinan tersebut turut didakwa berlangsung tanpa pengetahuan keluarga Marissa, termasuk ibu bapanya, pelakon Norman Hakim dan Abby Abadi.

Pada Mei 2025, pasangan itu hadir ke mahkamah sama bagi tujuan pengesahan perkahwinan, namun proses berkaitan masih berlanjutan sehingga kini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok