DIRAIKAN seluruh negara, penyanyi dan pelakon Bella Astillah berkongsi rasa gembira dengan status baharunya sebagai tunang kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq yang berlangsung dalam sebuah majlis semalam.
Bella atau nama penuhnya, Dayang Nabellah Awang Astillah, 32, momen manis semalam dianggap sebagai salah satu mimpi terindah dalam hidupnya.
“Masih tersekat pada acara semalam seperti berada dalam mimpi yang saya tidak mahu bangun,” katanya dalam Instagram.
Menerusi hantaran sama, dia juga turut menitipkan ucapan penghargaaan buat ibu kepada tunangnya, Sharifah Mahani.
“Terima kasih, mama. Saya sayang mama.
“Secara rasmi telah bertunang, Alhamdulillah,” katanya lagi.
Dalam perkongsian tersebut, Bella turut memuatnaik video bersalaman dengan Sharifah Mahani selepas cincin tunang disarungkan ke jari manisnya semalam.
Semalam, Bella atau nama lengkapnya, Dayang Nabellah Awang Astillah selamat bergelar tunangan kepada Syed Saddiq dalam sebuah majlis.
Syed Saddiq juga mengundang perhatian ramai apabila hadir membawa jambangan bunga kepada bakal isterinya.
Bakal pengantin terbabit bertukar hantaran iaitu lima dulang berbalas tujuh daripada Bella yang juga berkonsepkan Gunung Kinabalu simbolik tempat Syed Saddiq melamarnya pada Januari lalu.
Syed Saddiq pula turut menyerahkan Sijil Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) untuk anak Bella, Ayden dan Ara, sebagai simbol kasih serta keprihatinan beliau terhadap masa depan mereka.
Terdahulu, pasangan yang mula intim sejak awal 2024 itu diraikan sekitar 150 tetamu termasuk selebriti yang hadir berbaju tradisional mengikut tema warna kuning. – HIBGLAM
