Fazura terima permohonan maaf, dia sangat baik – Ashraf Khalid

SEDAR akan kesilapan lampau yang pernah mengguris hati orang lain, pempengaruh dan usahawan, Asyraf Khalid tampil membuat permohonan maaf secara terbuka secara bersemuka kepada aktres, Fazura.

Asyraf atau nama lengkapnya Muhammad Asyraf Khalid, 34, mengakui berasa kesal kerana pernah mencampuri urusan peribadi Fazura kira-kira dua tahun lalu yang langsung tiada kaitan dengan dirinya.

“Pada majlis pertunangan Saddiq dan Bella, saya duduk bertentangan dengan Fazura. Ramai yang tahu, beberapa tahun lalu, saya pernah melakukan kesilapan.

“Ketika Fazura berdepan isu peribadi, saya keluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya dan tak kena pada tempatnya.

“Saya mencampuri hal yang sebenarnya bukan urusan saya sejak awal lagi,” katanya dalam Threads.

Anak tiri kepada Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza itu mendedahkan tidak mempunyai masalah untuk duduk semeja dengan Fazura dan mengambil kesempatan menjernihkan keadaan.

“Hari ini (semalam), apabila Bella bertanya sama ada kami selesa duduk bersama, saya katakan sudah tentu tiada masalah daripada pihak saya.

“Apabila Fazura tiba, kami bersalaman dan berbual ringkas dan saya dapat rasakan, perkara ini bukan sekadar membabitkan netizen.

“Dia mungkin juga terkesan dengan apa yang pernah saya katakan, lebih-lebih lagi kerana kami pernah saling mengenali sebelum ini.

“Jadi, apabila ada peluang, saya sedikit mendekat dan berkata ‘Faz, saya ingin memohon maaf atas apa yang saya katakan sebelum ini. Saya tidak sepatutnya memberi komen atau mencampuri urusan orang lain’,” jelasnya.

Malah, dia tersentuh apabila aktres itu sanggup mendengar dan menerima permohonan maaf daripadanya dengan hati yang terbuka.

“Dia mendengar dan dia menerima permohonan maaf saya. Selepas itu? Kami hanya teruskan perbualan mengenai kehidupan dan pelbagai perkara.

“Dia sangat baik dan itu cukup menggambarkan keperibadiannya,” tuturnya lagi.

Pada masa sama, Asyraf turut memohon maaf kepada mana-mana pihak yang pernah terkesan dengan kelantangan suaranya dan berjanji akan menjadi lebih baik selepas ini.

“Kepada sesiapa yang terkesan dengan kata-kata saya ketika itu, saya mohon maaf. Dengan sepenuh hati.

“Saya sudah belajar, berubah dan akan terus berusaha menjadi lebih baik,” katanya.

Sebelum ini, Asyraf dan isterinya, Tya Arifin dikecam netizen susulan tindakan mengupas isu pergolakan rumah tangga Fazura bersama bekas suaminya, Fattah Amin dalam sesi audio siarnya Apa Cerita?. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok